Mufti wilayah tampil jawab hukum sebenar simpan patung mainan kanak-kanak ramai patut cakna

Oleh ISMAIL YAHYA

Setiap daripada kita pernah melalui zaman kanak-kanak dan pasti mempunyai barang permainan seperti anak patung ketika kecil.

Tidak kira sama ada ia robot, patung Barbie, atau banyak lagi yang hadir dalam pelbagai saiz.

Malahan, ada juga yang terus menyimpan patung sebagai koleksi walaupun sudah memasuki alam pekerjaan, sama ada kerana minat atau mengikuti perkembangan trend terkini.

Baru-baru ini, timbul perdebatan dalam kalangan orang beragama Islam mengenai hukum menyimpan anak patung, yang menjadi perhatian setelah dipopularkan oleh seorang selebriti antarabangsa.

Sehubungan itu, berikut adalah pencerahan dari Mufti Wilayah Persekutuan (WP) mengenai topik ini untuk pemahaman bersama.

Mufti wilayah tampil jawab hukum sebenar simpan patung mainan kanak-kanak ramai patut cakna

Hukum Menyimpan Patung Permainan Kanak-kanak

Assalamualaikum Dato’ Seri SS Mufti. Saya ingin bertanya mengenai hukum menyimpan patung mainan kanak-kanak seperti dinosaur, robot dan lain-lain untuk tujuan permainan dan pembelajaran.

Baru-baru ini ada ustaz yang menyatakan perkara ini adalah haram, dan kami telah membuang patung tersebut atas nasihat ustaz. Mohon pencerahan Tuan Mufti mengenai pandangan Islam mengenai perkara ini. Adakah ia dibolehkan atau tidak?

Terima kasih.

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam. Selawat serta salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, serta ke atas ahli keluarga dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Terdapat larangan dalam beberapa hadith mengenai menyimpan dan meletakkan patung di dalam rumah serta mengukirnya. Antaranya ialah hadith yang telah dibahaskan dalam Al-Afkar #47: Hukum Patung Sebagai Perhiasan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya: Sesungguhnya malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan gambar patung. (Hadith riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016))

Dalam hadith yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

أنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ، وأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتا كَنِيسَةً رَأَيْنَها بالحَبَشَةِ فِيها تَصاوِيرُ لِرَسولِ اللهِ ﷺ، فَقالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: إنَّ أُولَئِكَ، إذا كانَ فِيهِمُ الرَّجُلُ الصّالِحُ، فَماتَ، بَنَوْا على قَبْرِهِ مَسْجِدًا، وصَوَّرُوا فيه تِلْكِ الصُّوَرَ، أُولَئِكَ شِرارُ الخَلْقِ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ القِيامَةِ.

Maksudnya: Bahawasanya Ummu Habibah dan Ummu Salamah Ranhuma teringat kepada tempat ibadat yang mereka pernah lihat di Habsyah yang terdapat patung-patung berhala di dalamnya dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Pada satu ketika dahulu ada seorang lelaki yang soleh yang telah meninggal dunia. Maka, penduduk di situ membina tempat ibadah di atas kuburnya dan mengukirkan patung-patung tersebut untuknya. Mereka itulah seburuk-buruk ciptaan di sisi Allah SWT pada hari Kiamat.” (Hadith riwayat Muslim: (528))

Al-Hafiz Ibn Hajar RA menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan pengharaman mengukir dan menyimpan patung (rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 1:525).

Begitu juga, dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ أشَدَّ النّاسِ عَذابًا يَومَ القِيامَةِ المُصَوِّرُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya manusia yang paling pedih azabnya di hari Kiamat ialah orang-orang yang mengukir patung (untuk disembah). (Hadith riwayat al-Bukhari (5606) dan Muslim (2108))

Allah SWT memberi ancaman kepada golongan yang mengukir patung ini agar menciptakan biji benih dan zarah. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

وَمَن أظْلَمُ مِمَّنْ ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي، فَلْيَخْلُقُوا حَبَّةً، ولْيَخْلُقُوا ذَرَّةً

Maksudnya: Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengubah sesuatu seperti ciptaan-Ku? Hendaklah mereka juga menciptakan biji dan zarah.

Hal ini kerana ayat-ayat al-Quran menunjukkan bahawa sifat membuat dan mengubah rupa bentuk adalah khusus bagi Allah SWT iaitu al-Musawwir (المصوّر). Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah ‘Ali Imran: 6)

وَلَقَدْ خَلَقْنَاكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنَاكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ لَمْ يَكُن مِّنَ السَّاجِدِينَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan Iblis, yang tidak termasuk dalam golongan yang sujud. (Surah al-‘Araf: 11)

Kesimpulan

Berdasarkan nas al-Quran dan hadith di atas, jelaslah bahawa pengharaman patung tersebut berkaitan dengan haram mengukir patung yang menyerupai ciptaan Allah SWT dan haram untuk disembah atau dimuliakan.

BACA: Tak puas hati dengan Ketua Pemuda, jadi punca Pemuda Umno Bukit Gantang lumpuh?