Muhyiddin cetus ‘perang’ baharu bila pecat Mahathir dan rampas Kedah

Muhyiddin cetus ‘perang’ baharu bila pecat Mahathir dan rampas Kedah

Pembangkang yang diketuai oleh PH dilihat mempunyai peluang untuk mengambil alih semula Putrajaya apabila PN dilihat masih gagal membentuk pakatan politik yang kukuh dan lestari.

Namun peluang dan kemungkinan tersebut banyak dipengaruhi oleh kebolehan Tun M dan Anwar membuat kompromi dan mencapai kesepakatan politik antara mereka.

Selepas Tragedi Sheraton, Anwar atau lebih khususnya PKR kurang ghairah untuk bekerjasama dengan Tun, apatah lagi untuk sekali lagi mengangkat Tun M sebagai PM.

Walaupun beberapa gerakan yang diatur sama ada oleh Tun atau Anwar untuk mengumpul sokongan menunjukkan perkembangan positif, keberangkalian untuk mereka berjaya masih samar selagi mereka berdua gagal mencapai konsesus.

Meskipun ramai pemain dan pemerhati politik menjangkakan PH mampu mengambil alih semula kerajaan, namun secara peribadi saya akak pesimis selagi tiada kompromi konstruktif antara Tun M dan Anwar.

Sehingga dua minggu lepas, saya menjangkakan agak sukar untuk kedua-dua kem Tun dan Anwar mencapai kompromi, khususnya untuk menamakan bakal PM.

Namun situasi mula berubah dengan mendadak apabila PN merampas kerajaan Kedah hampir dua minggu lepas, rentak pertembungan mula bertukar.

Keputusan YAB Tan Sri Muhyiddin memberi restu kepada PN merampas kerajaan Kedah daripada Mukhriz menambahkan hangat perseteruan Tun terhadap presiden Bersatu itu.

Tindakan itu mencetus nekad Tun M untuk mengusahakan semua pilihan yang ada untuk menewaskan Muhyiddin, termasuk kemungkinan mengendur dan berkompromi dengan Anwar dan PKR, serta menggiatkan lagi rundingan dengan beberapa kumpulan lain sama ada di Semenanjung atau Borneo.

Dalam tempoh seminggu terakhir ini, usaha Tun mula menampak potensi, khususnya bayangan sokongan daripada pihak2 di luar PH, walaupun belum ada petunjuk tercapainya sebarang kata putus bersama Anwar.

Hari ini pula Tun M dan anaknya Mukhriz dipecat daripada Bersatu bersama tiga ahli parlimen Bersatu yang lain, tindakan yang sudah diduga tetapi agak mengejutkan.

Agak mengejutkan kerana saya menjangkakan Tan Sri Muhyiddin akan menggunakan pelbagai cara untuk menangani Tun, tapi bukan dengan cara memecatnya.

Apabila telah dipecat, Tun akan berada pada laluan sehala untuk menewaskan bekas anak didiknya itu, termasuk memuktamadkan persetujuan dengan Anwar dan PKR.

Apabila berada dalam situasi terdesak, Tun telah banyak kali mengendurkan ego untuk berunding dan mencapai persetujuan dengan pelbagai pihak bagi mencapai matlamat politik beliau, itulah Dr Mahathir Mohamad.

Setelah keadaan hening beberapa ketika selepas peralihan kerajaan pada Mac lepas, merampas Kedah daripada Mukhriz dan memecat Tun daripada Bersatu akan jadi titik mula yang baharu pertembungan Mahathir-Muhyiddin dan PH-PN.

Pertembungan ini berpotensi merubah lanskap politik tanah air jika tidak diuruskan dengan baik oleh PN.

Sumber: