Muhyiddin minta Anwar buktikan ada majoriti

Muhyiddin minta Anwar buktikan ada majoriti

Dakwaan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan hendaklah dibuktikan melalui proses ditentukan Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Anwar yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Menurutnya, dakwaan itu hendaklah dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Tanpa melalui proses itu, kenyataan Datuk Seri Anwar hanyalah dakwaan semata-mata.

“Sehingga dibuktikan sebaliknya, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau memohon supaya rakyat bertenang menghadapi situasi ini.

“Insya-Allah, isu ini akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/utama/2020/09/623606/saya-masih-perdana-menteri-muhyiddin