Muhyiddin sedang terdesak kumpul pengaruh dan melawan tekanan UMNO

Muhyiddin sedang terdesak kumpul pengaruh dan melawan tekanan UMNO

Perang belum tamat. Gladiator akan turun gelanggang. Semasa TSMY dinamakan PM, viral gambar beliau sujud tanda syukur. Tapi aku lebih berminat dengan ucapan aluan saat TSMY memulakan muqaddimah bicara. Terima kasih diucapakan kepada Dato’ Hamzah Zainuddin (kini; Menteri Dalam Negeri) yang berkerja keras bersama pasukannya. Ini konspirasi tertinggi elit politik. Ia telah lama dikesan, mula dihidu sejak kongres maruah Melayu sehingga kewujudan ‘war room’ khas misi khas ini. Pelbagai usaha dimulakan bagi merealisasikan kerajaan pintu belakang ini. Pelan asal berbeza tetapi menjadi berubah sejak ‘langkah Sheraton’.

Perbezaan pendirian (ijtihad) kekal bersama PH atau sebaliknya kerana wujud tekanan dan gerakan terancang untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang tanpa DAP merancakkannya. Idea-idea ini terbelah diantara Tun dan sebahagian pimpinan PPBM lalu mengheret kepada pengumuman penarikan PPBM keluar PH tanpa mendapat restu daripada Tun selaku pengerusi.

Hemat aku, pada waktu ini TSMY @Muhyiddin sebagai PM ini memberikan kelebihan kepadanya mengukuhkan pengaruh dalam parti. Menjelang detik akhir pemilihan parti, jika benar berlaku penyingkiran Tun dan Mukhriz sekalipun ia tidaklah mustahil. Tetapi adakah TSMY ‘sampai hati’ untuk melakukannya?

Dikala ini beliau mendapat sokongan majoriti MPT PPBM dan tambahan daripada fraksi Azmin yang baru menyertai parti tersebut. PPBM + UMNO dan sebahagian PAS juga telah berjaya di negeri-negeri lainnya seperti Johor, Melaka, Perak dan sekarang dalam usaha mengambil semula Kedah. Jika sokongan kepada Mukhriz merosot, ia semestinya memberi kelebihan kepada TSMY.

Episod Mac yang bermula dengan langkah Sheraton menatijahkan peletakan jawatan Tun sebagai PM tidak akan memberi kelebihan banyak Tun. Sokongan sebilangan kecil dikalangan MP dan kepimpinan PPBM sukar mengembalikan Tun. Sekiranya penyingkiran Tun sebagai pengerusi dimuktamadkan dalam kadar segera, pertembungan Tun dan Muhyiddin dijangka akan berterusan disidang parlimen. Terkini, usul undi tidak percaya ke atas legitimasi beliau sebagai PM telah pun diterima speaker untuk dibahaskan. Sekiranya gagal ditangani, yang pasti PPBM akan terbelah.

Semua ini pasti menjadi pertimbangan PPBM dan Muhyiddin dikala mata dunia tertumpu ke arahnya kerana memilih kembali berkerjasama dengan UMNO-BN yang terpalit dengan pelbagai skandal dan isu kleptokrasi sebelum ini. Lebih jelas, TSMY terpaksa bersetuju untuk melantik ahli parlimen yang bersama kepimpinannya pada setiap GLC dan agensi penting kerajaan. Semua ini penting sebagai mengukuhkan sokongan, dokongan ke atasnya termasuk mengimbangi tekanan dalaman yang dihadapinya terutama daripada UMNO.

Retakan telah wujud dan halangan makin terbentuk bagi TSMY untuk menghadapi sidang parlimen dan pemilihan PPBM Jun ini. Mampukah Muhyiddin membersihkan imejnya dicelah-celah kompromi dengan UMNO-BN, ditambah hambatan ekonomi global kian getir. Namun lonjakan populariti TSMY sedikit dibantu ketika negara sedang dilanda wabak Covid 19 ini. Perwatakan tenang, ucapan marhaen dan belanja besar pada pakej rangsangan prihatin ekonomi yang telah diumumkan bulan lalu sedang bergerak membentuk naratif baru bagi mengalih isu dan menafikan persepsi ke atas kerajaan baru yang diterajuinya.

Sumber :