Muhyiddin serah kepada YDP Agong tentukan nasibnya

Muhyiddin serah kepada YDP Agong tentukan nasibnya

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa beliau masih memegang jawatan itu meskipun ada pihak yang mendakwa memperoleh sokongan majoriti wakil rakyat Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Menurutnya, sebagai Perdana Menteri yang dilantik secara sah oleh Yang di-Pertuan Agong, beliau tetap akan melaksanakan tugas sebaiknya kepada semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan agama.

“Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut berhubung perkara ini kerana saya menghormati pandangan dan menyerahkan kepada perlembagaan serta budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

“Pada malam ini mesti tuan puan bertanya adakah saya masih Perdana Menteri, saya di sini masih Perdana Menteri. Walau apa pun situasi berlaku, sebagai pemimpin saya bertanggungjawab kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri yang turut dihadiri Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee di Luyang di sini malam ini.

Hadir sama, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; calon Perikatan Nasional (PN) Luyang, Gee Tien Siong dan calon Barisan Nasional (BN) Likas, Dr Chang Kee Ying.

Katanya, rakyat negara ini perlu tahu bahawa beliau menjadi Perdana Menteri selepas berlaku krisis perlembagaan dalam negara.

“Oleh sebab itu, perlu ada usaha untuk menyelamatkan negara dan saya dilantik Yang di-Pertuan Agong bagi menggalas tanggungjawab ini.

“Ada yang kata saya datang dari pintu belakang, pintu depan tapi yang pasti saya datang dari pintu istana dan saya sudah angkat sumpah,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, lawatannya ke Sabah bukanlah untuk menjajah negeri itu, namun adalah untuk memastikan negeri Sabah dapat terus dibangunkan.

“Saya datang sini bukan untuk menjajah tetapi kita mahu bangunkan Sabah ini dengan sebaiknya.

“Sabah ini mempunyai kekayaan dan kerajaan negeri kata ia boleh buat dan bangunkan Sabah, tetapi kita mesti fikir hubungan antara negeri dan persekutuan,” katanya.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/102371/BERITA/Nasional/Saya-masih-PM-yang-sah