“Saya telah mewarisi kekayaan dan kuasa tanpa perlu melakukan apa-apa untuk itu. Negara tidak membebankan cukai harta pusaka, dan itu tidak adil,” katanya.
Pewaris syarikat farmaseutikal Austria-Jerman, Marlene Engelhorn, memutuskan untuk mengagihkan harta yang diwarisinya,
Jumlahnya yang bernilai kira-kira 25 juta euro (RM127.4 juta), dengan membiarkan 50 warga Austria menentukan bagaimana pengagihan itu sepatutnya dilakukan.
Portal BBC melaporkan bahawa Engelhorn, yang kini berusia 31 tahun, memilih untuk memberikan kuasa kepada warga Austria untuk menentukan nasib harta yang diwarisinya tersebut.
Austria telah memansuhkan cukai harta pusaka pada tahun 2008, menjadikannya antara negara Eropah yang tidak mengenakan cukai tersebut. Engelhorn, sebagai pewaris kepada Friedrich Engelhorn, pengasas syarikat kimia dan farmaseutikal Jerman, BASF, merasakan bahawa hal ini tidak adil.
Engelhorn mewarisi kekayaan setelah kematian neneknya, Traudl Engelhorn-Vechiatto, pada September 2022. Kekayaan Traudl Engelhorn-Vechiatto, dianggarkan oleh majalah Forbes kepada AS$4.2 bilion (kira-kira RM19.5 bilion).
Sebelum kematian neneknya, Engelhorn telah menyatakan niatnya untuk mengagihkan kira-kira 90 peratus daripada harta yang diwarisinya. Pada Rabu lalu, 10,000 jemputan secara rawak telah dihantar kepada warga Austria untuk mengambil bahagian dalam platform yang membolehkan mereka memikirkan cara pengagihan harta tersebut.
Mereka yang berminat untuk menyertai inisiatif tersebut, yang dikenali sebagai Good Council for Redistribution, boleh mendaftar secara dalam talian atau melalui telefon. Dari sampel awal 10,000 warga Austria yang berumur lebih daripada 16 tahun, 50 orang akan dipilih untuk menentukan bagaimana pengagihan harta tersebut sepatutnya dilakukan.
Engelhorn menyatakan, “Jika ahli politik tidak menjalankan tugas mereka dan mengagihkan semula harta, maka saya perlu mengagihkan semula kekayaan saya sendiri.
Ramai orang berjuang untuk memenuhi keperluan hidup dengan pekerjaan sepenuh masa dan membayar cukai atas setiap euro yang mereka peroleh daripada kerja.
Saya melihat ini sebagai kegagalan politik, dan jika politik gagal, maka rakyat perlu menanganinya sendiri.”