Najib sinis terhadap idea ‘Grand Coalition’ dengan parti “Atok”

Najib sinis terhadap idea ‘Grand Coalition’ dengan parti “Atok”

Bekas presiden Umno, Najib Razak, tidak mahu terlalu mengkritik Shafie Apdal susulan cadangan Umno dan Warisan menyertai sebuah gabungan perdana baru bersama sedozen atau lebih parti lain.

“Dia (Shafie) kata biarkan dia mati dalam gelanggang politk walaupun akhirnya parti dia kalah juga dan ramai yang mati akibat Covid-19,” kata Najib.

Beliau mengulas laporan memetik Shafie sebagai mempertahankan keputusan memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah Julai lalu untuk pilihan raya negeri (PRN) di adakan walaupun wabak Covid-19 masih serius.

Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan PRN Sabah menyumbang kepada peningkatan kes mendadak di negeri itu dan di Semenanjung kerana ketidakpatuhan pada SOP.

Najib berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan Shafie namun tidak mahu terlalu kritikal terhadap bekas ketua menteri Sabah itu.

“Saya pun tak nak terlebih kritik Shafie sebab terbaca berita pagi ini bahawa kononnya ada kemungkinan kita akan bersama dia dan Atok dalam gabungan politik yang sama,” tambah beliau secara sinis. Najib sering merujuk Dr Mahathir Mohamad sebagai “atok”.

Awal hari ini, Setiausaha Agung Muafakat Nasional, Annuar Musa mencadangkan pembentukan “grand coalition” atau gabungan perdana melibatkan 12 atau lebih parti, termasuk Warisan pimpinan Shafie dan Pejuang yang diasaskan Mahathir.

Annuar melontar cadangan itu untuk mencapai “penyatuan ummah” dan membawa politik negara ke tahap lebih tinggi setelah kian lama bertumpu kepada “2-3 personaliti”.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/16/najib-tak-nak-terlebih-kritik-shafie-kerana-mungkin-jadi-rakan-gabungan/