Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mengecam bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam satu kenyataan yang dimuat naik di blognya.
Beliau menegaskan bahawa perasaan malu yang sepatutnya ada dalam diri seseorang kini semakin pudar di Malaysia.
Menurut Dr. Mahathir, Najib dan sebahagian besar penyokongnya seakan tidak merasa malu meskipun sudah terbukti bersalah.
“Najib tidak malu, malah ramai penyokongnya juga tidak malu apabila disogok dan disabitkan kesalahan.
Bahkan ada yang berkata, ‘Apa perlu malu, (Najib) boss kita,’ seolah-olah mereka begitu membanggakan tindakan yang salah,” kata Dr. Mahathir di laman webnya, http://chedet.cc/.
Dr. Mahathir mengungkapkan bahawa ketika Najib dihukum atas kes penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana kerajaan, bekas Perdana Menteri itu cuba mengalih perhatian dengan menuduh beliau (Dr. Mahathir) juga terlibat dalam kesalahan yang sama.
Beliau merujuk kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat dakwaan kehilangan RM30 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM) semasa beliau memegang jawatan Perdana Menteri.
“RCI yang ditubuhkan tidak menemui bukti bahawa saya menyembunyikan kehilangan itu. Bank Negara tidak dikehendaki melapor kepada saya tentang akaun mereka, dan mustahil mereka akan meminta saya menyembunyikan perkara tersebut. Semua akaun Bank Negara diaudit dan jika benar ada kehilangan, pihak audit pastinya akan melaporkannya,” katanya lagi.
Dr. Mahathir juga menjelaskan bahawa tiada satu sen pun dari wang yang dikatakan hilang masuk ke dalam akaunnya, berbeza dengan Najib yang didapati memiliki hampir satu bilion ringgit dalam akaunnya sendiri. Akibatnya, Najib dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta.
“Tidak ada persamaan antara kes saya dan kesalahan yang dilakukan oleh Najib. Mahkamah Rayuan juga telah mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Najib bersalah dan hukuman tersebut diteruskan,” jelasnya.
Selain itu, Dr. Mahathir turut menegur projek Forest City di Johor yang diluluskan semasa pentadbiran Najib. Projek bandar mewah itu menyasarkan pembeli dari China, dengan pemilikan tanah secara kekal dan keistimewaan bebas cukai. Dr. Mahathir berkata beliau telah melawat projek tersebut dan mendapati kebanyakan pekerja dan pelawatnya adalah warga China, dan tidak banyak pelawat dari Malaysia.
“Ketika kami mengambil alih, kami menasihati pihak Country Garden untuk menyediakan rumah kos rendah yang mampu dibeli oleh rakyat Malaysia, dan mereka akur dengan cadangan tersebut,” katanya.
Dalam isu projek Keretapi Pantai Timur pula, Dr. Mahathir menjelaskan bahawa perjanjian sudah dibuat, namun kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengurangkan kos projek tersebut sebanyak RM20 bilion melalui rundingan dengan kontraktor.
“Masa pemerintahan Najib, hutang negara mencecah lebih RM1 trillion. Selain itu, masih ada dakwaan bahawa Najib telah menyalahgunakan wang 1MDB yang bernilai berbillion ringgit.
Mahkamah juga memutuskan untuk memulangkan wang yang dirampas daripada Najib, termasuk wang RM150 juta yang dipercayai milik 1MDB,” ujar Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir juga menambah, walaupun terbukti Najib memiliki wang dalam jumlah yang besar, bekas Perdana Menteri itu masih memohon untuk diberi hadiah tanah dan rumah bernilai RM100 juta. “Mengapa Najib yang jelas terbukti berhutang berbillion ringgit layak menerima hadiah sebegitu? Perdana Menteri lain tidak diberi hadiah sebegitu banyak,” tegasnya.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan mengingatkan bahawa walaupun Najib cuba menolak pemberian tersebut, akhirnya ia tetap akan diterima.
BACA: Hati-hati bila tengah camping tiba-tiba bau hamis, orang asli kongsi ilmu hutan ramai tak tahu