Najib tuntut PKP yang lebih ketat

Najib tuntut PKP yang lebih ketat

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan tindakan kerajaan kerana tidak menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara lebih ketat.

Menurutnya, PKP secara lebih ketat perlu disegerakan dan kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat menderita terlalu lama bawah PKP seperti sekarang.

“Kenapa tak laksanakan secara ketat tanpa kelonggaran awal-awal lagi pada PKP 2.0 seperti disaran saya dan ramai lagi?

“Kenapa hanya cadang nak buat selepas PKP 2.0 selama 23 hari telah dibazirkan?

“Jika nak buat secara ketat dengan melarangkan sektor kilang dan pembinaan, buatlah ‘all-out’ sekarang. Jangan tunggu dan paksa rakyat menderita lagi lama di bawah PKP,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Ahli Perlimen Pekan itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi cadangan untuk melaksanakan PKP 3.0 yang amat ketat (termasuk larangan ke atas sektor kilang dan pembinaan) selepas PKP 2.0 berakhir pada 4 Februari sekiranya angka jangkitan Covid-19 masih tinggi.

Mengulas lanjut, Najib berkata, peningkatan kes Covid-19 akan terus berlaku sehingga 4 Februari memandangkan kluster terbesar Covid-19 adalah sektor-sektor yang sama dibenarkan beroperasi seperti biasa pada PKP ini.

“Jika PKP 3.0 berlaku, sektor-sektor lain tidak berkaitan yang terpaksa sia-sia berkorban 23 hari untuk PKP 2.0, nak ‘claim’ kerugian dari siapa?,” katanya. – SH