Lebih daripada 100 ekor gajah liar menyebabkan kerosakan ladang-ladang tebu penduduk kampung
Di kawasan Prachin Buri, Thailand, seperti yang dilaporkan oleh laman berita Thaiger semalam.
Peristiwa itu menyebabkan beberapa pekerja dari Pusat Perlindungan Hidupan Liar Khao Ang Rue Nai dipanggil untuk menghalau gajah-gajah tersebut.
Walaupun begitu, kekurangan pekerja dan situasi kerja yang berisiko tinggi telah memberi kesan kepada operasi.
Gajah-gajah tersebut dilaporkan tidak mahu meninggalkan kawasan ladang dan terus merosakkan tanaman petani tempatan.
Persatuan Pentadbiran Daerah Kecil Khai Maikaew di kawasan Prachin Buri telah berkongsi kenyataan mereka di Facebook, serta memohon agar isu tersebut dapat diatasi.
“Mereka yang tidak pernah menghadapinya mungkin tidak faham. Satu tahun terdapat sekali musim menuai. Ketika musim menuai, semua orang menunggu untuk menjual hasil tanaman bagi menyara keluarga.
“Ada juga yang terpaksa membayar hutang baja dan anak pokok serta ada yang mahu membayar persekolahan anak, traktor serta lain-lain.
“Namun belum sempat mereka menuai, sekumpulan besar gajah datang dan makan hampir semua tanaman. Harapan untuk melangsaikan hutang musnah,” demikian menurut kenyataan itu.