‘Nak menunjuk kekayaan untuk apa? Esok kena tarik mana tahu?’ – Ryan Bakery

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Personaliti media sosial yang terkenal, Ryan Bakery, menegaskan bahawa dia tidak berminat untuk mempamerkan kemewahan hidupnya kepada orang ramai.

Ryan, atau nama sebenarnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, yang memiliki 4.3 juta pengikut di TikTok dan 1.1 juta di Instagram, berkata dia banyak belajar daripada apa yang berlaku di sekelilingnya.

“Saya tak akan tunjukkan kemewahan saya di mana-mana platform.

Untuk apa nak menunjuk-nunjuk? Kita tak tahu apa akan terjadi esok, mungkin semuanya akan hilang.

Jadi, tak perlu lakukan perkara seperti itu,” ujar Ryan.

'Nak menunjuk kekayaan untuk apa? Esok kena tarik mana tahu?' - Ryan Bakery

Menurutnya, dia sering melihat banyak orang yang terlalu ghairah mempamerkan kemewahan, namun akhirnya berakhir dengan rasa malu apabila keadaan tidak seperti yang diharapkan. “Bila sudah terkena, nak hadap dengan kecaman netizen memang susah. Saya lebih suka kekal dengan diri saya sendiri,” tambahnya.

Ryan juga menekankan bahawa walaupun dia mempunyai lebih banyak wang sekarang, dia memilih untuk menggunakannya dengan bijak. “Sekarang, saya lebih faham tentang zakat dan cukai pendapatan, perkara yang dulu saya tidak tahu.

Saya bayar zakat dan cukai pendapatan kerana itu yang sepatutnya saya buat,” katanya lagi dalam temubual dengan Harian Metro.

Beliau turut berkongsi pengalaman perbezaan yang dirasai antara bekerja dengan gaji tetap dan sekarang yang perlu menguruskan segala urusan sendiri. “Dulu saya hanya ikut arahan majikan, tapi sekarang saya perlu uruskan semuanya.

Banyak lagi perkara yang saya perlu belajar daripada orang yang berpengalaman. Saya masih dalam proses untuk menyusun kehidupan saya,” katanya.

Selain itu, cabaran dalam kerjaya sebagai pencipta kandungan juga tidak kurang hebatnya.

Contohnya, ketika isu boikot produk Israel hangat diperkatakan. Untuk mengelakkan sebarang kontroversi, Ryan memilih untuk melepaskan tawaran iklan walaupun sudah membuat penggambaran. ”

Waktu itu, saya terpaksa pulangkan bayaran kerana tidak mahu ada masalah. Alhamdulillah, pihak terbabit memahami keputusan saya,” jelas Ryan.

BACA: Taksub artis KPOP, remaja nekad culik diri sendiri demi wang tebusan biaya kos ke Korea