Bagi ramai orang, putus tunang adalah pengalaman yang amat memilukan—hanya tinggal selangkah untuk ke gerbang perkahwinan, namun harapan hancur di tengah jalan.
Kekecewaan itu sering kali membuatkan hati terkunci rapat, sukar menerima kehadiran cinta baharu.
Begitulah yang dialami seorang jururawat ini. Setelah dikecewakan oleh bekas tunangnya, dia memilih untuk menjauhkan diri daripada cinta lelaki.
Namun, takdir punya caranya sendiri. Kesunyian hidup tanpa teman dan jauh dari keluarga membawanya bertemu seorang lelaki di sebuah kedai makan pada 2011.
“Aku Tak Layan Dia, Tapi Dia Tetap Usaha”
“Dia minta nombor telefon aku masa di kedai makan, tapi aku tak bagi. Akhirnya dia dapatkan daripada rakan serumah aku. Bila dia mesej dan call, aku langsung tak layan—tiga bulan juga aku buat tak tahu,” kongsi wanita itu.
Namun, takdir berubah apabila dia bersetuju keluar berkaraoke bersama lelaki itu. Walaupun hati masih berhati-hati, usaha lelaki itu yang sentiasa menghantar hadiah dan memberi nasihat baik membuatkan dia mulai terbuka.
“Dia suara memang macam Datuk Jamal Abdillah! Lepas keluar makan dan karaoke, aku mula rasa dia ni lain. Kami berkawan selama enam bulan, dan dia sentiasa hormat aku. Dia tak pernah sentuh aku,” tambahnya.
“Aku Rasa Dia Curang”
Hubungan mereka nampak ideal sehingga satu malam, wanita itu cuba menghubungi lelaki tersebut kerana kecemasan keluarga. Namun, panggilannya dijawab oleh seorang wanita lain.
“Dia selalu tutup telefon pukul 10 malam, tapi malam tu ada perempuan angkat. Aku pura-pura salah nombor, tapi hati aku hancur. Sepanjang perjalanan balik kampung, aku menangis fikir dia tidur dengan perempuan lain,” katanya.
Walaupun lelaki itu berusaha memujuk dengan hadiah dan panggilan telefon, hati wanita itu kekal dingin.
Kebenaran Terbongkar di Bilik Bersalin
Beberapa bulan kemudian, wanita tersebut menjalani latihan klinikal di bilik bersalin. Di situlah dia menemui kebenaran yang menyakitkan.
“Satu hari aku periksa buku pink pesakit, aku nampak nama lelaki tu sebagai suami kepada pesakit. Aku menggigil. Aku periksa nombor telefonnya—memang sama!” katanya.
Saat yang paling sukar adalah apabila lelaki itu masuk ke bilik bersalin untuk menemani isterinya. Walaupun hatinya hancur, dia tetap profesional dan membantu proses kelahiran anak perempuan pasangan itu.
“Lepas selesai, masa aku nak suntik sinto untuk keluarkan uri, dia sempat pegang tangan aku. Aku terus sound, ‘Ye encik ada apa?’ Isteri dia terus cakap sesuatu dalam bahasa Sarawak,” cerita wanita itu.
“Allah Jawab Doa Aku”
Sejak kejadian itu, wanita tersebut memutuskan untuk memutuskan segala hubungan dengan lelaki tersebut. Dia menukar nombor telefon dan menjauhkan diri.
“Aku tak beritahu isteri dia, tapi aku hadiahkan sesuatu untuk dia dan anaknya. Aku sedih, tapi aku tahu ini cara Allah jawab doa aku,” katanya mengakhiri cerita.
Kisah ini mengajar kita bahawa kebenaran pasti akan muncul, walaupun ia pahit. Adakalanya, pengalaman yang menyakitkan adalah jalan untuk membebaskan kita dari hubungan yang tidak membawa kebahagiaan sejati.
BACA: Pok Cik Bismillah telah kembali ke rahmatullah pagi ini