Kes-kes gangguan seksual dalam komuniti kita semakin hari semakin membimbangkan, tanpa mengira umur atau jantina.
Oleh itu, penting untuk kita semua sentiasa waspada dan meningkatkan kesedaran tentang isu ini.
Dalam usaha mendidik masyarakat Malaysia, program Show Dalam Bilik oleh OHBULAN, yang dihoskan oleh Amat Larbsib, menjemput selebriti kecergasan
Nana Mohd untuk berkongsi pengalaman peribadinya tentang insiden gangguan yang pernah dialaminya semasa remaja.
Pengalaman Pertama yang Mencemaskan
Dalam rancangan Show Dalam Bilik, Nana membuka cerita tentang pengalaman pertama yang mengejutkan ketika masih remaja, di mana dia menghadapi situasi yang tidak dijangka.
Ketika menghadiri sebuah majlis, seorang lelaki yang dikenalinya dikatakan cuba merabanya.
“Masa itu kami sedang ambil gambar, saya berdiri di belakang.
Tiba-tiba saya perasan ada yang memegang bahagian belakang saya. Mula-mula, saya tertanya-tanya, mungkin itu tidak sengaja?”
Nana mengenali individu tersebut sebagai anak kepada kenalan ibunya. Selepas kejadian, dia menceritakan insiden itu kepada ibunya, namun mereka sukar mempercayai tindakan lelaki tersebut.
Nana mencadangkan agar ibunya berbincang dengan ibu bapa lelaki berkenaan untuk memaklumkan situasi tersebut.
Pengalaman Berulang
Tidak berhenti di situ, Nana sekali lagi berdepan insiden serupa dengan individu yang sama, kali ini di tempat awam. Semasa menaiki kereta api untuk ke KLCC, Nana ternampak lelaki tersebut di dalam gerabak yang sama.
“Bila saya masuk je gerabak, saya ternampak dia. Saya tak boleh buat-buat tak tahu sebab dia kenalan keluarga.”
Dalam gerabak yang penuh dengan penumpang, situasi sama berulang lagi – kali ini dengan tindakan lebih agresif. Nana sekali lagi terdiam dan terkejut dengan peristiwa itu, yang berlaku ketika dia berusia 18 tahun.
Akhirnya, dia bergegas keluar dari gerabak dan pulang ke rumah untuk memaklumkan insiden tersebut kepada ibunya.
Pengalaman peribadi yang dikongsi oleh Nana ini memberikan peringatan kepada kita semua tentang pentingnya kesedaran dan tindakan tegas dalam menangani isu gangguan seksual dalam masyarakat.
BACA: Genap 190 hari, aktivis Korea protes depan kedutaan Israel demi Palestin