Nasha Aziz dedah akan dibunuh kalau pakai bikini

Nasha Aziz dedah akan dibunuh kalau pakai bikini. PADA usia 51 tahun dengan hayat karier lebih tiga dasawarsa dalam sepak terajang dunia seni dan hiburan, aura supermodel bertaraf bintang terkemuka, Nasha Aziz tidak pernah padam, sebaliknya masih membara.

Masakan tidak, sehingga ke hari ini Nasha masih berjaya memukau penonton setiap kali muncul di pentas peragaan.

Mungkin kerana itu, meskipun muncul ramai supermodel generasi baharu, dia tetap menjadi pilihan pereka dan jenama fesyen terkenal tempatan.

Sejujurnya, Nasha sendiri tidak menyangka akan bertahan selama ini sedangkan ramai rakan seangkatan sudah tidak lagi aktif.

Semakin mahal

Nasha Aziz dedah akan dibunuh kalau pakai bikini

Bukan sahaja tidak kering tawaran, kemunculan semakin mahal di mata industri.

“Saya tidak sangka akan bertahan selama ini dan nilai juga semakin tinggi seiring peningkatan usia.

“Sejak akhir-akhir ini, bayaran setiap tawaran juga cukup lumayan biarpun hanya muncul sekali di pentas peragaan.

“Jika dahulu dengan bayaran sebanyak sekarang, mungkin saya perlu keluar masuk dan tukar pakaian sebanyak 50 kali.

“Alhamdulillah, saya masih diberi rezeki dan kepercayaan orang dalam industri fesyen,” tutur Nasha.

Bergelar supermodel tentunya menuntut pemilik nama sebenar, Noraishah Abdul Aziz berpakaian seksi, namun di pentas peragaan mana pun, dia tetap meletakkan limitasi dan berpegang kepada prinsip hidup.

“Saya tidak pernah berbikini atas pentas peragaan, itu adalah limitasi yang saya tetapkan dalam karier ini.

“Kadangkala saya sendiri rasa bersalah kerana bersikap terlalu ‘demanding’ (terlalu banyak syarat).

“Jika mahu menjadi peragawati profesional, saya sepatutnya tidak boleh meletakkan sebarang limitasi.

“Model profesional harus mengikut sahaja permintaan pereka fesyen, jika diminta mengayakan pakaian tanpa pakaian dalam, mereka perlu akur.

“Namun, sebagai individu yang berpendirian, sebagaimana saya suka menghargai setiap rekaan pakaian, saya juga menghargai diri sendiri,” kata Nasha.

Kedegilan

Disebabkan terlalu berpegang kepada prinsip dan enggan berbikini di dalam sebuah iklan pada awal penglibatannya, Nasha sanggup melepaskan peluang keemasan yang mungkin datang hanya sekali dalam hidup itu.

Dia bahkan sanggup kembali bekerja sebagai tenaga pengajar roller skate berbanding menjadi seorang model jika berbikini adalah satu kewajipan.

“Saya sangat muda ketika itu, baru berusia 19 tahun. Waktu itu saya bersama agensi Tiara Jacquelina. Sewaktu masuk ke dewan uji bakat sebuah iklan berkonsep tepi pantai, saya lihat ramai model senior, semuanya berbikini.

“Memang saya kena bunuh kalau pakai bikini (ketawa). Jadi, saya terus keluar dan tidak mahu menjadi model. Saya sanggup jadi pengajar roller skate.

“Tetapi Tiara datang memujuk dan saya katakan, tidak boleh berbikini. Akhirnya, nama saya lepas sebagai model iklan tersebut. Saya dibenarkan memakai baju-T dan seluar pendek,” kongsi Nasha.

Sejak dari situ, Nasha semakin teguh pendirian meskipun berkerja sebagai seorang model.

“Detik itu membuatkan saya percaya terhadap diri sendiri. Saya dikurniakan bakat dan kelebihan, jadi banyak yang boleh ditunjukkan mereka tanpa perlu berbikini. Itu adalah limitasi yang saya tidak boleh langgar,” kata Nasha.

Menurut Nasha, prinsip yang sama turut digunakan ketika dia berada di atas pentas peragaan antarabangsa seperti di Hong Kong, New York dan London.

Nasha enggan menyesal kemudian hari gara-gara mengejar populariti dan tawaran kerja lumayan sewaktu muda.

“Paling penting adalah tentang diri kita sendiri. Dalam hidup ini pilih jalan yang membuatkan kita gembira bukan kerana orang lain.

“Saya rasa disebabkan prinsip dan kedegilan itu yang membuatkan saya berada di tahap hari ini. Tujuan saya hidup dalah mahu bahagia dunia dan akhirat.

“Saya tidak mahu menyesal kemudian hari. Bukanlah saya baik, tetapi sebagai manusia setiap tindakan kita harus ada limitasi,” luah pelakon Laila Isabella itu tenang.

Pengorbanan

Nasha yang kini bergelar ‘muse’ jenama pakaian muslimah Munawwareen mendedahkan, banyak pengorbanan yang dilalui demi mengekalkan status supermodel dan pelakon terkenal di atas batu jemalanya.

Antaranya, dia harus mengamalkan diet ketat, agar kekal langsing.

“Adakalanya saya teringin jadi macam biasa. Tetapi pagi saya harus memastikan makanan tanpa garam dan gula, jika tidak badan akan kembang. Saya makan beras perang dan banyak sayur.

“Saya hanya minum kopi selepas pukul 1 tengah hari. Kopi baik untuk otak, tetapi akan membuatkan kulit kering,” katanya.

Menyentuh tentang karier lakonannya, Nasha yang bakal muncul dengan filem Talbis Iblis dan drama Jesnita tidak terlalu berkira jika diberikan watak kecil dalam sesebuah karya.

Lebih penting baginya adalah impak di mata penonton, bukan berapa lama wajahnya muncul dalam skrin.

“Saya pernah ditawarkan watak utama dalam filem Sepi arahan Kabir Bhatia, tetapi saya tolak dan pilih melakonkan watak pembantu bernama Suzy.

“Penerbit awalnya tidak bersetuju kerana watak Suzy hanya muncul lima minit sahaja dalam filem tersebut, namun saya berjaya membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Terbaik dalam Anugerah Skrin 2008,” ujar Nasha.

Untuk semua prinsip dan gaya hidupnya selama inilah, biarpun kekal solo, Nasha yang sebelum ini mendedahkan sedang didekati seseorang, tetap bahagia dengan cara sendiri.

“Hidup ini satu pilihan. Saya masih solo dan bahagia dengan cara saya.

“Saya akui kadangkala terasa sunyi, biasalah kita inginkan orang mengucap kata cinta dan romantis.

“Tetapi selebihnya saya bahagia bersama kehidupan, karier, sahabat, keluarga dan peminat,” tutupnya.

BACA:

Bajet 2023: Penjawat Awam dapat durian runtuh

Influencer nak cium mulut isteri depan member bujang jadi tular

Benjamin Mora kini jurulatih Atlas FC, bukan lagi JDT