Ramai yang gemar makanan cepat saji atau ‘fast food’ dan makanan berproses yang tidak sihat dan mendatangkan risiko penyakit jika diambil secara berlebihan.
Seorang doktor perubatan yang kini mendalami perubatan Islam menasihatkan tentang makna hidup sihat yang wajib anda tahu.
Dr Zaidul Akbar yang juga penggagas Jurus Sihat Rasulullah (JSR) mengingatkan bahawa pengambilan ‘fast food’ yang tanpa kawalan malah boleh menjejaskan hormon lelaki
“Hati-hati dengan ‘fast food’ terutama daging berproses dan tepung-tepungnya.
“Kalau lelaki, payudaranya, maaf, seperti perempuan itu sebabnya makanan yang diambilnya banyak mengandungi hormon-hormon perempuan.
“Makanan-makanan tinggi santan, tinggi gula, yang miskin nutrisi juga menyebabkan itu.
Dr Zaidul Akbar
“Kalori masuk dan kalori keluar tidak seimbang. Lebih banyak kalori masuk sehingga semuanya – perut dan pinggang – membesar,” katanya dalam kuliahnya yang dimuat naik di YouTube.
Oleh sebab itu, beliau mengajak masyarakat Islam untuk membetulkan niat sihat untuk Allah dan bertanggungjawab terhadap kesihatan diri sendiri.
“Mari kita niatkan hidup sihat ini dalam kerangka ketaatan kepada Allah bukan hanya kerana gaya hidup.
“Banyak ibadat kita sebenarnya perlukan fizikal yang kuat.
“Puasa contohnya adalah bentuk ‘servis’ kepada tubuh kita untuk kita sihat.
“Kalau kita ikut segala yang ditetapkan, umat Islam seharusnya menjadi paling sihat kerana semua syariat yang Allah berikan kepada kita melalui Rasulullah semuanya adalah menyihatkan,” ujarnya.
Sebaliknya, kata beliau, jika terus menerus faktor enak menjadi alasan untuk makan apa sahaja maka beerti telah mengutamakan nafsu.
“Sudah tahu tidak sihat masih dimakan.
“Kalau mahu hidup sihat mulai hafalkan al-Quran. Nikmatnya luar biasa. Ia akan mencegah seseorang itu tidak makan berlebihan dan tidak makan makanan yang syubhah.
“Sebabnya, dia mempunyai segala sumber motivasi daripada al-Quran,” kata Dr Zaidul lagi.
Pendakwah berusia 47 tahun itu juga mengajak umat Islam untuk menjadikan al-Quran sebagai sahabat dalam apa juga aktiviti yang dilakukan.
“Sambil masak dengar bacaan al-Quran. Berjogging dengan alunan ayat al-Quran.
“Apabila lihat pohon ingat ayat-ayat al-Quran, contohnya dalam surah Ibrahim, ayat 24 yang bermaksud:
“Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit.”
“Jadi, mulailah sihat dengan sihatnya kalbu,” tambah Dr Zaidul lagi.
BACA JUGA Bayar 20 liter tapi bila isi 20 liter minyak kereta tak cukup! Jurutera dedah puncanya