Nasruddin sifatkan pemimpin yang habis semua benda nak tukar sebagai kurang cerdik

Nasruddin sifatkan pemimpin yang habis semua benda nak tukar sebagai kurang cerdik

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baru, Nasruddin Hassan memberi jaminan tidak akan merombak struktur sedia ada agensi dakwah itu, sebaliknya akan menggabungkan warisan yang sahih dengan idea kepimpinan baru.

Ahli jawatankuasa Pas pusat itu berkata, tindakan merombak sesebuah organisasi sebaik diterajui melambangkan sikap pemimpin yang “kurang cerdik”.

“Saya tiada masalah untuk teruskan agenda sebelum ini, malah yang baik wajar diteruskan. Saya tak suka, naik je pemimpin baru semua nak tukar baru.

“Logo nak tukar, moto nak tukar.. warna baju nak tukar. Habis semua benda nak tukar. Tu bukan pemimpin yang cerdik… tu bukan pemimpin yang baik,” katanya ketika berucap sewaktu memulakan tugas secara rasmi di ibu pejabat Yadim di sini, hari ini.

Nasruddin dilantik sebagai Yang Dipertua Yadim ke-14 berkuat kuasa 16 Julai lalu menggantikan Nik Omar Nik Aziz yang diarah mengosongkan jawatannya serta-merta.

Perkembangan itu berlaku 5 bulan lebih awal daripada tempoh kontraknya yang berakhir pada Disember.

Ketika mengulas mengenai peralihan pimpinan itu, Nasruddin berkata: “peralihan tugas adalah perkara biasa. Berubah kerajaan, berubah kepimpinan adalah perkara biasa. Boleh jadi saya juga akan ditukar selepas ini. Itu perkara biasa.”

“Saya sifatkan Nik Omar seorang yang baik dan juga sahabat. Saya kenali keluarga beliau dengan dekat. Tiada apa yang boleh saya katakan melainkan yang baik-baik saja.”

Mengenai agenda yang akan dibawa beliau dalam menerajui Yadim, Nasruddin berkata, agensi dakwah itu akan terus mengukuhkan usaha dakwah, khususnya memerangi golongan yang aktif mempromosikan fahaman liberal dalam kalangan umat Islam.

“Ancaman terhadap Islam sangat dahsyat ketika ini, terutama usaha mempromosikan fahaman liberal, jadi tanggungjawab Yadim untuk perbetulkan cara masyarakat kita berfikir mengenai amalan hidup Islam sebenar supaya mereka tidak mudah terpengaruh,” katanya.

Nik Omar dilantik sebagai Yang Dipertua Yadim pada 14 Disember 2018 menggantikan Yusri Mohamad untuk tempoh 2 tahun sehingga hujung tahun ini.

Beliau yang mewakili Amanah merupakan calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14.

Berita penuh :

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/07/20/tak-cerdik-jika-rombak-organisasi-kata-nasruddin/