Seorang wanita bergelar ibu berjaya mencuri perhatian ramai selepas berkongsi gambar anaknya
Yang sedang duduk berhadapan dengan anggota polis di akaun media sosial miliknya, baru-baru ini.
Tidak melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang, wanita terbabit sebaliknya mengakui
Tujuannya menghantar anak ke balai polis adalah untuk membentuk kanak-kanak berkenaan.
Difahamkan, segalanya berpunca daripada satu pesanan dihantar oleh guru anaknya melalui aplikasi Whatsapp
memaklumkan bahawa kanak-kanak terbabit tidak menyiapkan kerja persekolahannya.
“Al-kisah, semalam cikgu Whatsapp beritahu anak tak siap kerja sekolah. Tetapi apabila ditanya di rumah, jawapannya mesti sudah siapkan dekat sekolah. Selepas itu, tiada kerja sekolah.
“Sudah malas nak bising-bising. Umur makin meningkat ini. Mama serahkan sahaja dekat polis. Elok pula anggota berikan kerjasama padu. Yang datang bawa gari itu tak menahan,” katanya.
Tular di media sosial, perkongsian yang berjaya mencuit hati orang ramai itu dimuat naik sendiri oleh sang ibu menerusi satu hantaran dikongsikan di akaun TikTok miliknya.
Dalam perkongsian yang sama, ibu terbabit turut memuji tindakan anggota polis bertugas berikutan memberikan kerjasama penuh di dalam usahanya untuk membentuk perilaku anaknya.
“Apabila sudah ditunjukkan lokap di situ, lagi huru-haralah anak saya. Siap ada (anggota) yang ‘standby’ kereta polis itu demi merealisasikan hajat Mama nak bentukkan anak. Alhamdulillah, semalam seharian tak pegang telefon.
“Kerja sekolah juga sudah siap. Semoga kekal (perubahan ini) hendaknya,” kata sang ibu menerusi ruangan kapsyen hantaran yang kini sudah meraih tontonan sebanyak 3.2 juta dari pengguna TikTok.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna memuji tindakan ibu berkenaan kerana tidak lepas tangan dalam mendidik anak-anak terutama mengenai pembelajaran.
Ramai juga pengguna tidak melepaskan peluang untuk berkongsi pengalaman mereka sendiri yang turut membawa anak ke balai polis dalam usaha untuk mengubah perangai kanak-kanak ke arah lebih baik.
“Sebagai cikgu, saya terima kasih sangat-sangat kepada ibu ayah yang prihatin dalam pembentukan sahsiah anak. Pembentukan mereka memang bermula dengan didikan di rumah,” kata seorang pengguna.
“Anak aku dahulu suka bermain game (permainan video). Aku hantar pergi balai polis. Polis tengking sampailah dia menangis dan terkejut. Tiga hari takut budak itu. Selepas kejadian itu, sampai sekarang tak main game.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Israel sangka Arab Saudi tutup mata isu Palestin, lain pula jadi bila Putera Arab Saudi ‘berdehem’