Mana-mana anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang selama ini tegar melindungi premis perniagaan warga asing kini tidak lagi boleh berasa selesa.
Ini kerana, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan operasi besar-besaran untuk menahan mereka yang terlibat.
Dalam era Madani ini, kerajaan tidak akan berkompromi dengan anggota penguat kuasa PBT yang tidak bertanggungjawab dan menerima rasuah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menyiasat perkara ini.
“Kita tidak akan melindungi sesiapa. Kita akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja dan juga mempunyai jawatankuasa atau unit
khusus untuk memantau disiplin dan sebagainya jika ada anggota penguat kuasa yang melanggar tata kelola dan urus tadbir yang baik.
“Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa dan jika benar berlaku apa-apa dan ada penemuan tertentu, kita serahkan sepenuhnya kepada SPRM,” ujarnya.
Zaliha berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA Ke-21 Sarawak, hari ini.
Beliau juga menyatakan bahawa tindakan SPRM seharusnya menjadi pengajaran kepada anggota penguat kuasa PBT dan agensi kerajaan yang lain.
“Ya, ini adalah ‘wake up call’ bukan sahaja di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), malah di semua PBT dan mungkin di agensi-agensi lain juga,” tambahnya lagi.
Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata bahawa pihaknya akan menjalankan operasi tersebut di sekitar ibu negara.
SPRM juga menyasarkan warga tempatan yang ‘mengalibabakan’ lesen perniagaan kepada warga asing.
BACA: Maxis bakal bergabung dengan U Mobile? Netizen sindir lepas ini mesti line macam siput