Netizen perasan muka arwah Zulfarhan ada iras dengan Zubir Khan

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

Akaun TikTok penyanyi dan komposer muda, Zubir Khan, kini dibanjiri dengan komen orang ramai yang bersetuju bahawa wajahnya seiras dengan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Menerusi video yang dimuat naik malam tadi, pengguna media sosial tidak henti-henti membanjiri ruangan komen penyanyi berusia 24 tahun itu sehingga hari ini.

Kebanyakan netizen memaklumkan bahawa senyuman Zubir mirip dengan Allahyarham,

ditambah pula dengan kulitnya yang hitam manis serta gaya rambut yang menyerupai Allahyarham Zulfarhan.

“Kalau dia senyum memang nampak seiras dengan Arwah Zulfarhan,” komen Puteri Yanie.

Netizen perasan muka arwah Zulfarhan ada iras dengan Zubir Khan

“Mungkin ayah dan mak Arwah Zulfarhan boleh bertemu dengan Zubir jika mahu mengubat rindu terhadap anak mereka. Memang sama sangat terutama senyuman,” komen Scha Juma.

“Terima kasih kepada korang kerana bagi jawapan. Jenuh fikir Zubir ni iras siapa sebab macam pernah nampak muka dia. Betul, sama sangat macam Arwah Zulfarhan,” komen Farah.

“Ramai kata muka sama macam Arwah Zulfarhan. Apa kata Zubir pergi melawat keluarga Arwah, sebagai pengubat rindu mereka,” komen pengguna lain.

Penyanyi lagu Tamil itu pula, dua jam lalu, turut meninggalkan komen meminta orang ramai berkongsi maklumat mengenai keluarga Allahyarham Zulfarhan yang merupakan Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Zubir juga berkata dia akan mengemas kini perkembangan lanjut jika dia berpeluang bertemu dengan keluarga Allahyarham, seperti yang diminta kebanyakan pengguna media sosial.

“Hi semua, boleh tak saya dapatkan info keluarga Zulfarhan?” komennya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Allahyarham Zulfarhan disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 akibat dibuli oleh rakan-rakannya kerana kehilangan sebuah komputer riba.

Semalam, enam bekas penuntut UPNM yang sebelum ini dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan dalam rayuan silang untuk mengembalikan semula kes itu daripada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada pertuduhan asal iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti tersebut di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.

BACA: “Rupanya dia guna khidmat ‘ulat’ dalam pejabat agama untuk daftar perkahwinannya secara salah disisi undang-undang!”