Nga Kor Ming sekolahkan Pemuda Pas, pertahan nyanyian Krismas di Kementerian

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, membidas seorang pemimpin Pemuda PAS yang mengkritik nyanyian lagu Krismas di kementeriannya di Putrajaya.

Menurut laporan Sin Chew Daily, Nga dalam respons ringkas kepada Pemuda PAS menyatakan, “Adakah PAS tahu menulis perkataan hormat?”

Laporan itu turut memaklumkan bahawa Nga dijangka akan memberikan kenyataan lanjut berhubung isu berkenaan.

Semalam, Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin, menerusi hantaran di Facebook, mempersoalkan video nyanyian lagu Krismas yang memaparkan kehadiran beberapa individu Islam di kalangan penonton.

Beliau menyatakan bahawa sebagai menteri, Nga seharusnya tahu bahawa umat Islam dilarang terlibat dalam perayaan agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam.

Video tersebut adalah klip pendek berdurasi kira-kira satu setengah minit yang dimuat naik oleh Nga pada malam Krismas lalu. Ia memaparkan kakitangan di kementeriannya menyanyikan lagu “Jingle Bells” dan “We Wish You a Merry Christmas.”

Dalam pada itu, beberapa pemimpin DAP turut membidas Hanif atas kenyataannya, dengan membandingkan ucapan perayaan Krismas oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Tiga ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP – Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; dan Sheikh Umar Bagharib Ali – menyatakan bahawa kenyataan Hanif bercanggah dengan pendirian Takiyuddin yang menyambut baik perayaan Krismas.

“Kenyataan ini menunjukkan walaupun PAS cuba memberi gambaran sebagai parti inklusif, kepimpinan mereka tidak menghormati hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” tegas mereka.

Ketiga-tiga pemimpin DAP itu turut menyarankan PAS untuk menghayati semangat Malaysia dalam politik kebangsaan dan meninggalkan politik sempit yang gagal meraikan perpaduan dalam kepelbagaian.

Selain Hanif, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar, turut mengkritik tindakan Nga yang dianggap tidak memahami prinsip keharmonian agama yang sepatutnya dijaga.

“Hal ini boleh menimbulkan polemik yang menggugat keharmonian antara agama di Malaysia,” dakwa Khairul Nadzir.

Dalam pada itu, Lee Chin Chen, ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, menuntut permohonan maaf daripada PAS kepada Nga dan kakitangan di kementeriannya. Lee menggariskan bahawa semua penjawat awam yang terlibat dalam nyanyian Krismas tersebut bukan beragama Islam dan hadir secara sukarela.

Raja Ahmad Iskandar Fareez, Naib Ketua Pemuda DAP, turut menyentuh perbezaan pendapat antara Takiyuddin dan Hanif dalam menyambut Krismas.

Beliau menegaskan bahawa penganut Kristian, termasuk Nga Kor Ming dan penjawat awam di kementerian tersebut, berhak meraikan hari perayaan mereka dengan cara yang harmoni dan majmuk.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan Pemuda DAP, Ho Chi Yang, mempersoalkan sama ada sikap tidak konsisten Pemuda PAS berpunca daripada kejahilan atau usaha mereka mengeksploitasi isu agama demi kepentingan politik.

Dalam kenyataannya, Nga mengucapkan tahniah kepada kakitangan KPKT atas hiasan lobi kementerian yang mempamerkan pelbagai perayaan seperti Aidilfitri, Deepavali, dan Krismas sepanjang tahun. Nga turut menyatakan bahawa lobi kementeriannya akan dihiasi dengan tema Tahun Baru Cina yang akan datang.

BACA: Mula-mula kucing, kali ini anjing pula jadi mangsa pembunuhan bersiri di UM, manusia je belum lagi