NGO kecewa kes Adib masih gagal jumpa jalan penyelesaian

NGO kecewa kes Adib masih gagal jumpa jalan penyelesaian

Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menzahirkan rasa kecewa mereka apabila siasatan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim masih belum menampakkan sebarang hasil meskipun ia didakwa sudah di peringkat akhir pada Dis tahun lalu.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya, berkata tempoh siasatan kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat itu sudah berlalu terlalu lama namun belum ada tindakan tegas diambil.

“Rakyat masih tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya, manakala pihak keluarga arwah pula semakin tertekan.

“Apa yg menghalang pihak polis? Adakah berlaku campur tangan politik atau memang polis masih menunggu maklumat lagi?

“Kes ini sudah berlaku lebih dua tahun… berapa lama lagikah polis perlukan masa?” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Aminuddin berkata demikian ketika diminta mengulas status siasatan polis berhubung kematian anggota bomba yang menarik perhatian ramai pada 2018 itu.

Muhammad Adib merupakan anggota bomba yang bertugas di balai Subang Jaya yang mengalami kecederaan parah semasa bertugas di pekarangan Kuil Sri Mahamariamman pada 27 Nov 2018.

Dia akhirnya menghembus nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018. Bagaimanapun punca kematiannya dipertikaikan sama ada akibat diserang atau kerana kemalangan.

Inkues yang dijalankan memutuskan – pada 27 Sept 2019 – kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Namun sehingga kini belum ada mana-mana orang ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh.

Semalam, bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid meluahkan rasa kecewa dengan kelewatan pihak berkuasa menyelesaikan kes kematian anaknya .

Menurut Mohd Kassim, kelewatan kes tersebut memperlihatkan pihak berkuasa seolah-olah mengambil sikap sambil lewa dan menganggap ia bukan masalah kepada negara.

Umno pula menggesa kerajaan segera mengumumkan perkembangan siasatan dan tindakan lanjut yang akan diambil berhubung kes itu.

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pengumuman itu penting agar pihak keluarga arwah tidak berterusan dibiarkan dalam ‘kegelapan’.

Untuk rekod sepanjang inkues berlangsung beberapa keterangan saksi juga menarik perhatian. Misalnya bagaimana baju yang dipakai Muhammad Adib, 24, didapati mungkin dibasuh terlebih dulu sebelum ia diserahkan kepada pegawai polis yang menyiasat kes itu.

Saksi juga memberitahu beberapa anggota bomba memberitahunya bedah siasat tidak perlu dilakukan ke atas jenazah Muhammad Adib.

Polis pula memaklumkan siasatan kes berkenaan masih diteruskan dan tidak pernah ditamatkan.

Semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan kematian Muhammad Adib menjadi satu daripada isu yang digunakan pembangkang pada waktu itu untuk menarik sokongan ramai.

Selain Pembela, PAS juga banyak menggunakan isu kematian Muhammad Adib, 24, semasa mengkritik PH. Ketika ini PAS adalah satu daripada parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dis lalu kerajaan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memberi keadilan buat keluarga Muhammad Adib.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata setakat ini Jabatan Peguam Negara masih menunggu hasil siasatan polis yang difahamkan kini “di peringkat akhir”.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata mahkamah koroner di Shah Alam sebelum ini juga memutuskan berlaku kegagalan pada pihak polis bagi mengawal rusuhan tersebut.

“Ini kes serius dan melibatkan penjawat awam. Mohon pihak polis berikan keutamaan. Pada masa sama Pembela memohon cari kembali suspek yang pernah ditangkap dulu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa yang dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya tidak akan berputus asa memperjuangkan kes kematian Muhammad Adib.

Menurut Mohd Zai, pihaknya akan terus mendesak kerajaan memberikan keadilan yang sewajarnya buat pemuda terbabit.

“Ummah dah hantar memorandum kepada menteri undang-undang sebelum sidang Parlimen lepas dan menteri dah janji untuk usahakan keadilan kepada keluarga Adib,” katanya.

Mengenai langkan mendatang, Mohd Zai berkata, Ummah akan menghantar memorandum kepada peguam negara yang baru agar siasatan baru dibuka.

Turut akan dibuat, katanya, ialah menghantar memorandum sama kepada ketua polis negara.

Sebelum ini, polis pernah mencadangkan satu inkues baru diadakan semula berikutan terdapat saksi baru yang akan tampil memberi keterangan berhubung kematian berkenaan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562714