Nik Abduh : Adakah nabi Muhammad menyokong PAS?

Nik Abduh : Adakah nabi Muhammad menyokong PAS?

Pemimpin PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz percaya perjuangan parti itu berteraskan perjuangan junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad.

Menulis di Facebooknya, Nik Abduh berkata PAS menyokong Rasulullah sepenuhnya, justeru perjuangan parti itu selari perjuangan baginda.

“Adakah nabi Muhammad menyokong PAS?

“Jawapannya PAS menyokong baginda SAW sepenuhnya. Justeru perjuangan PAS adalah perjuangan baginda di dalam menegakkan agama demi cinta dan ikutan kepada baginda,” kata Nik Abduh yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat.

PAS merupakan parti berteraskan Islam yang ditubuhkan sejak sebelum merdeka selepas Hizbul Muslimin diharamkan kerajaan British pada tahun 1948.

Sejak peringkat awal penubuhannya, PAS dilihat cuba menyaingi Umno yang merupakan sebuah parti nasionalis Melayu terbesar di Malaysia.

Parti Islam ini mendukung penubuhan negara dan undang-undang Islam serta pernah mencipta kontroversi melalui “amanat Haji Hadi” yang dikeluarkan pemimpinnya, Abdul Hadi Awang pada 1981.

Antara amanat itu berbunyi PAS menentang Umno kerana parti itu menggekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan mengekalkan peraturan jahiliah.

Sepanjang pembabitannya dalam arus politik negara, PAS pernah menjalinkan kerjasama dengan beberapa parti politik, termasuklah DAP dan PKR menerusi Pakatan Rakyat pada 2008.

Namun hubungan itu tidak bertahan lama apabila PAS membuat keputusan meninggalkan gabungan berkenaan.

Pada pilihan raya umum 2018, Umno dan BN mengalami kekalahan yang pertama apabila tewas kepada gabungan Pakatan Harapan yang diketuai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun krisis politik yang berlaku pada 2019 menyaksikan kerajaan PH tumbang. Ini selepas Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan Bersatu yang merupakan sebahagian daripada PH keluar daripada gabungan itu.

PAS kemudian menyertai Umno dan Bersatu dalam gabungan baru yang dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan. – MK