Nik Amar mahu tampar pihak dalam Pas yang adakan kerjasama dengan Umno

Nik Amar mahu tampar pihak dalam Pas yang adakan kerjasama dengan Umno

Selepas pengakuan Datuk Takiyuddin Hassan, Pas memulakan usaha kerjasama dengan Umno sejak 2015, aktivis politik Hazmin atau Jeming Hassan bertanya kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar siapakah yang hendak ditamparnya sekarang.

Ini kerana, dalam satu programnya bersama Muslimat Pas Kelantan beberapa tahun lalu, Nik Amar pernah berkata, beliau akan tampar mana-mana pihak dalam Pas yang terlibat mengadakan kerjasama dengan Umno.

“Sekarang Datuk Takiyuddin telah mengaku, usaha kerjasama antara Pas dan Umno sudah bermula sejak 2015 lagi.

“Saya nak tanya Nik Amar, dia nak tampar siapa sekarang,” tanya Jeming melalui videoblognya kelmarin selepas menyiarkan video ucapan Nik Amar yang akan menampar sesiapa yang terlibat dalam usaha kerjasama dengan Umno.

Jeming sebelum ini antara pihak yang dinamakan oleh Naib Presiden Pas sekarang, Idris Ahmad sebagai pemfitnah Pas nombor satu kerana mendakwa ada pakatan sulit antara Pas dengan Umno.

“Sekarang sudah terbukti melalui kenyataan Takiyuddin dan juga Dr Zuhdi yang mendakwa ia bermula sejak 2011 lagi,” kata Jeming melalui video itu.

Harakahdaily, media rasmi Pas sebelum ini telah menyiarkan berita pendedahan Takiyuddin yang dibuatnya semasa Mesyuarat Agung Tahunan Pas kawasan Kota Bharu bahawa usaha untuk bekerjasama dengan Umno bermula pada tahun 2015 lagi.

Namun berita itu telah ditarik balik oleh Harakahdaily sehingga Jeming menamakannya bukan lagi Harakahdaily tetapi Harakahdelete.

SERUAN KEPADA AHLI PAS

Sementara itu, melalui posting di facebooknya, Jeming menyeru ahli Pas menghukum pemimpin mereka yang telah menipu dan mengkhianati perjuangan Almarhum Tok Guru Nik Aziz.

“Sebelum ini mereka menafikan kerjasama Pas Umno bahkan memperlekehkan soalan-soalan ahli bawah yang mempersoal kerjasama Pas Umno.

“Muktakhir ini, para pengkhianat perjuangan asal Pas tanpa segan silu mengaku usaha ini telah dilakukan sejak 2015 lagi atas arahan Presiden,” kata Jeming dalam posting itu.

Bagi beliau, sebagai Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin juga sepatutnya menjelaskan apakah usaha-usaha yang telah dilakukan mereka bagi menyatukan Pas Umno.

“Adakah fitnah, adu domba, khianat dan pelbagai lagi gerak saraf kotor muktamar Pas yang mengakibatkan setandang pimpinan jatuh itu juga salah satu usaha bagi menyatu Pas Umno,” tanya Jeming merujuk kepada tindakan menghalau pemimpin Pas yang tidak menyokong kerjasama dengan Umno dalam Muktamarnya pada 2015.

Takiyuddin juga, kata Jeming, perlu jelaskan, adakah usaha menyatukan Pas Umno ini juga melibatkan wang ringgit kerana mereka dapat lihat kempen terakhir Pas ketika muktamar dan kempen pilihan raya ke 14 begitu ketara Pas yang dulunya keras menentang Umno.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/selepas-pengakuan-setiausaha-agung-nik-amar-mahu-tampar-siapa-sekarang/