Orang lain nak elak tapi cikgu ini minta diisytihar muflis, baki gaji tinggal RM500 jadi punca

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

Terdapat banyak perkongsian di media sosial mengenai penjawat awam yang terjebak dalam kemuflisan akibat pinjaman peribadi.

Kebanyakan perkongsian ini adalah pengalaman yang dikongsikan oleh individu itu sendiri dengan harapan dapat memberi pengajaran kepada orang lain.

Satu laporan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia baru-baru ini mendedahkan bahawa

sebanyak 3,602 kes kebankrapan telah direkodkan dalam kalangan penjawat awam dari tahun 2020 hingga September 2024.

Salah seorang penjawat awam, seorang guru, turut berkongsi masalah kewangannya di Facebook.

Orang lain nak elak tapi cikgu ini minta diisytihar muflis, baki gaji tinggal RM500 jadi punca

Beliau mendedahkan bahawa walaupun mempunyai gaji kasar RM4,500, gaji bersih yang diterimanya hanya RM1,400 setelah ditolak pelbagai potongan

seperti RM770 untuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta bayaran RM224 untuk Aeon Credit.

Guru tersebut juga mengakui bahawa masalah kewangannya semakin tertekan kerana mempunyai tiga anak yang memerlukan perbelanjaan yang besar. Suaminya pula bekerja sendiri dengan pendapatan yang tidak tetap, kadangkala ada, kadangkala tidak.

Disebabkan bebanan hutang yang tinggi, guru tersebut bercadang untuk muflis secara sukarela kerana sudah tidak mampu lagi menanggung komitmen yang besar. Beliau bertanya sama ada kesan daripada tindakan tersebut akan memberi impak pada masa depan, seperti kemungkinan rumahnya yang dibeli melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan dilelong, dan sama ada keretanya akan dirampas.

Perkongsian guru tersebut menarik perhatian ramai netizen, yang memberi pelbagai nasihat dan pandangan. Sebahagian daripada mereka menyarankan agar beliau tidak meneruskan niat untuk muflis kerana walaupun muflis, masalah kewangan tetap ada. Ada yang berpendapat bahawa kebankrapan boleh menyukarkan kenaikan pangkat, dan lebih baik mencari jalan untuk menambah pendapatan.

Beberapa netizen memberi saranan untuk “downgrade” gaya hidup, seperti menjual kereta berjenama dan beralih kepada kereta terpakai.

Ada juga yang mencadangkan untuk menjalankan kerja sampingan seperti memberi tuisyen, menjadi tutor, atau menyertai perkhidmatan penghantaran seperti Grab.

Beberapa netizen turut menyarankan agar guru tersebut berniaga makanan atau snek, kerana kerja sebagai guru mempunyai potensi untuk menjana pendapatan tambahan melalui pesanan mingguan daripada rakan-rakan.

Perkongsian ini mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan netizen yang prihatin dan memberi pelbagai cadangan untuk membantu meringankan beban kewangan guru tersebut.

BACA: Suami cakap macam-macam pasal perempuan tu, konon perempuan tu bermasalah tapi perempuan tu pertahankan bila suami burukkan aku..