Pengisytiharan dan ordinan darurat wajar dibahas sebelum tamatnya tarikh pelaksanaan darurat, kata pakar perlembagaan, Shad Saleem Faruqi
Katanya, di bawah Perkara 150(2) Perlembagaan Persekutuan, pengisytiharan darurat dan ordinan darurat boleh terbatal menerusi parlimen.
Bagaimanapun, sekiranya pengisytiharan darurat dan ordinan darurat dibahas selepas daripada tarikh tamatnya yang dijangka 1 Ogos, ia hanya akan menjadi perbahasan bersifat akademik.
“Pada pandangan saya, pengisytiharan darurat wajar dibentangkan di parlimen sebelum darurat tamat.
“Tak ada gunanya membentangkan sesuatu dengan niat untuk memperhalusinya, kalau dilakukan apabila ia sudah pun tamat. Kenapa nak bercerai lagi kalau pasangan sudah pun mati? Sudah terlambat, kan?” kata Shad kepada Malaysiakini.
Selepas menerima pandangan daripada pemimpin-pemimpin parti pembangkang, pakar-pakar dan Majlis Raja-Raja, pada 16 Jun, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa parlimen wajar bersidang semula “secepat mungkin”.
Secara khususnya, Agong mahu ahli-ahli parlimen memperdebatkan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
Kerajaan menyasarkan untuk membuka semula Parlimen pada September atau Oktober.
Yang di-Pertuan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Azhar Harun dan Rais Yatim pula berkata Parlimen dijangka dapat dibuka paling lewat awal September.
Menurut Shad, parlimen mesti dibenarkan untuk berfungsi semasa pelaksanaan darurat.
“Parlimen mempunyai fungsi perlembagaan meskipun semasa darurat, dan saya rasa kita mesti membenarkan Parlimen untuk melaksanakan fungsi-fungsi berkenaan,” katanya.
Terdapat duluan untuk hal berkenaan. Pada 1966, darurat dikenakan ke atas Sarawak dan gabenor membuka persidangan Majlis Negri (kini DUN Sarawak) untuk menyingkirkan ketua menteri ketika itu Stephen Kalong Ningkan.
Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/580799
JANGAN TERLEPAS : Netizen sanggah alasan Menteri pertahan operasi pemberi pinjam wang berlesen