Pengusaha sebuah stesen minyak dekat Sungai Bakap berdepan dengan denda sehingga RM1 juta
selepas didapati menjual petrol bersubsidi kepada warga asing, dengan gambar kejadian itu tular di media sosial.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan, berkata pihaknya telah memantau penularan gambar tersebut.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati premis itu membenarkan sebuah kenderaan asing mengisi petrol bersubsidi pada jam 2.24 petang kelmarin.
“Kami mengambil maklum tentang insiden yang melibatkan sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran negara jiran yang mengisi petrol bersubsidi RON95 di sebuah stesen berhampiran hentian rehat Sungai Bakap.
“Berdasarkan aduan yang turut tular, kenderaan dengan nombor pendaftaran Thailand itu mengisi petrol bersubsidi menggunakan nozel berwarna kuning yang disyaki RON95.
“Susulan itu, tindakan penyitaan dilakukan terhadap beberapa dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jegan berkata, KPDN akan menjalankan pemantauan yang lebih agresif terhadap semua stesen minyak, terutama yang berdekatan sempadan, untuk mengelakkan ketirisan penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.
Beliau menambah, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, manakala bagi perbadanan atau syarikat, denda boleh mencapai sehingga RM2 juta,” katanya.