Pak Subki inspirasi penulisan yang bebas dari cengkaman penguasa

Pak Subki inspirasi penulisan yang bebas dari cengkaman penguasa

Sosok tubuh Subki Latif atau Pak Subki Latif tidak dapat terpisah dengan dunia penulisan kewartawanan dan politk PAS. Semua mengenali beliau sebagai penulis berprofilik melalui analisis tajam beliau terhadap politik tanahair. Tidak seperti penulis politik yang lain, beliau berada di medan kepartian dengan menyertai PAS secara aktif usai PRk Pelabuhan Kelang.

Sepanjang hayatnya, penulisan beliau mewakili suara alternatif yang mengkritik doktrin pemerintah. Maklumat sejarah politik tanah air dijadikan sebagai hujahan dan perbandingan kepada realiti politik yang diamalkan oleh pemerintah UMNO/BN ketika itu. Sebagai rekod juga beliau pernah bertanding untuk Parlimen Parit Buntar atas tiket PAS pada tahun 1986.

Beliau mula bertanding pada PRk Pelabuhan Kelang tahun 1979 sebagai calon PAS. Pertemuan saya pertama kali dengan beliau ialah semasa saya berumur 15 tahun. Beliau bertandang ke rumah untuk menziarahi ayahanda yang beliau mesra dengan panggilan ‘Pak Yusof’. Saya diminta oleh ayahanda Haji Yusof Rawa untuk meraikan tetamu istimewa hari itu sementara ayah bersiap.

Sebagai anak remaja, saya kekok untuk bersembang dengan Pak Subki. Pak Subki hanya bertanya khabar saya, sekolah mana dan soalan ‘breaking the ice’. Memang ayahanda sengaja mahu saya membiasakan diri duduk dengan orang yang lebih tua mungkin untuk bina ‘self confidence’ saya.

Saya masih ingat ikut ayah berkempen untuk Pak Subki di PRk Pelabuhan Kelang. Sebagai anak muda berumur 15 tahun, saya mula dapat merasai secara permukaan apa itu aktiviti kempen pilihanraya. Semasa rehat berkempen, beliau senyum jumpa saya kerana ketika di Penang tempoh hari kami telah berkenalan.

Pak Yusof dan Pak Subki rapat bukan sekadar hubungan parti tetapi sebagai kawan. Dalam majlis-majlis keluarga di KL, Pak Subki dan isteri akan bertandang ke rumah abang ipar saya Haji Shahrum Syarif Saya waktu itu yang sudah balik dari Mesir tamat pengajian sering juga bertemu beliau dalam kunjungannya ke rumah abang ipar di Ulu Kelang.

Sebagai seseorang yang boleh dianggap ‘rapat’ dengan ayah, beliau telah dijemput oleh Penang Institute pada tahun 2012 membicarakan tentang Legasi Haji Yusof Rawa. Banyak dibicarakan oleh beliau malam itu bagi generasi muda khususnya yang tidak mengenali Haji Yusof Rawa sebagai tokoh ulamak dan politik Islam. Pak Subki juga adalah penulis bersama Pak Yusof buku yang berjodol ‘Shah Iran dikehendaki Hidup atau Mati’ (1980)

Saya banyak membaca penulisan Pak Subki di ruang tetap beliau dalam HARAKAH dan beberapa buah buku beliau semasa menyiapkan tesis Phd di UM. Selain analisis politik, beliau juga penulis memoir yang merakamkan peristiwa penting secara terperinci dan menggunakan kebolehan seni penulisan untuk menghidupkan sesuatu peristiwa yang sangat signifikan kepada parti PAS. Salah satunya ialah dalam buku ‘Fadhil Nor, Dia Guru, Dia Kawan (2012) yang menceritakan detik beliau dan allahyarham Fadhil Nor memujuk ayahanda Haji Yusof Rawa ketika itu supaya tidak meletakkan jawatan sebagai Presiden PAS atas satu insiden yang Pak Yusof memahaminya sebagai undi tidak percaya kepada beliau.

Subki Latif akan dikenang sebagai penulis, wartawan dan penulis memoir politik dan parti yang disertainya selama ini. Dia juga adalah rakan keluarga buat kami. Ketajaman hasil tulisannya pula adalah sebagai sumber dokumen berharga untuk pembaca politik tanahair hari ini. Kepada penulis yang masih berkarya, beliau adalah inspirasi dan otai dunia kewartawanan yang mahukan pandangan yang bebas dan tidak terkongkong dengan kehendak regim penguasa.

Takziah untuk isteri dan anak-anak Allahyarham dari saya dan seluruh keluarga besar Pak Yusof Rawa, semoga disambung silatulrahmi kepada yang masih hidup.
Al Fatihah…..

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Parit Buntar

24 June 2020

Sumber :