Pakai tali leher umpama pakai salib – Pemimpin Taliban
Tali leher yang dipakai oleh lelaki adalah tanda salib bagi agama Kristian, kata seorang pegawai kanan Taliban Afghanistan.
“Kadang-kadang, apabila saya pergi ke hospital dan kawasan lain, seorang jurutera atau doktor Muslim Afghanistan mengenakan tali leher,”
kata Mohammad Hashim Shaheed Wror, ketua Direktorat Bimbingan yang berusaha untuk membimbing orang ramai mengikut garis Islam yang betul.
Beliau berkata dalam ucapan yang disiarkan oleh Tolo TV bahawa simbolisme tali leher “jelas dalam Islam”.
“Apakah itu tali leher? Ia adalah salib. Jadi ia diperintahkan dalam Syariah bahawa anda harus membuang dan menghapuskannya,” katanya.
Pihak berkuasa Taliban tidak mengenakan sebarang peraturan berpakaian ke atas lelaki sejak mengambil alih pada Ogos 2021. Bagaimanapun bagi wanita, mereka wajib untuk menutup kepala dengan tudung apabila keluar di khalayak ramai.
Kebanyakan pegawai tertinggi Taliban kebanyakannya berpakaian sama. Jubah, kopiah dan selendang yang diletakkan di leher.
Pakaian kasual dari Barat tidak mendapat tempat di negara ini sejak Taliban mengambil alih tampuk pimpinan, tetapi beberapa pekerjaan profesional yang lain masih mengenakan kot dan tali leher.
Tali leher difahamkan mula digunakan pada abad ke-17 dan telah dijadikan antara fesyen oleh orang Perancis.
Untuk rekod, kerajaan Afghanistan sebelum ini cuba mengenakan peraturan pakaian ke atas rakyatnya dan kepada pegawai kerajaan.
Bekas presiden Ashraf Ghani – yang melarikan diri dari negara itu semasa Taliban mengambil alih pada 2021 – sangat suka mengenakan pakaian Barat ketika berada di luar negara dan pakaian tradisional ketika berada di negaranya.
BACA: Tiba-tiba kena lilit ular sawa masa berseorangan, abang bomba ini ajar cara lepaskan belitan ular