‘Pakai topi, seluar jeans’ Individu dedah taktik baharu GISBH kaburi mata pihak berkuasa

Oleh SHUHADA BUSTAMAN

Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh pasukan risikan keselamatan negara berkenaan

Kegiatan tidak bermoral Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) telah menyebabkan sebahagian ahli yang masih taksub merancang langkah baharu.

Berdasarkan maklumat terkini, imej dan identiti mereka telah ditukar untuk mengaburi pihak berkuasa dan penduduk setempat.

Sebelum ini, pakaian ‘rasmi’ yang mereka pakai terdiri daripada jubah atau jersi Berlengan panjang bersama seluar sukan atau slack jenis longgar dan berkopiah.

Namun kini, ahli yang masih setia dengan perjuangan yang diterapkan oleh pemimpin GISBH mula mengenakan pakaian moden, termasuk topi.

'Pakai topi, seluar jeans' Individu dedah taktik baharu GISBH kaburi mata pihak berkuasa

Perkara ini didedahkan oleh salah seorang bekas ahli GISBH yang kini tinggal dan bekerja di Arab Saudi.

Beliau yang ingin dikenali sebagai Muhammad Kamaludin berkata, sejak serbuan dan tangkapan dilakukan oleh pihak polis di seluruh Malaysia, kebanyakan ahli yang terlibat dalam perniagaan mula menukar identiti dan imej mereka.

“Sekarang saya mendapat maklumat bahawa mereka yang mempunyai banyak perniagaan, terutama di luar negara, telah mula menukar imej mereka.

Dari laporan yang saya terima dari Mesir, di sana mereka sudah menukar kepada pakaian seperti topi, seluar jeans, dan seluar biasa, sehingga tidak lagi nampak identiti asal.

“Di Arab Saudi, mereka juga telah mengubah imej pakaian dan membuat penafian tentang projek mereka di bawah GISBH, sedangkan umum sudah mengetahui hal tersebut.

Sama juga di Makkah, mereka hanya menafikan penglibatan mereka dalam GISBH,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurutnya lagi, jika ada orang luar yang bertanya mengenai GISBH, ahli-ahli diminta untuk menyatakan bahawa perniagaan mereka masih diteruskan kerana mereka telah lama keluar dari GISBH dan berdiri atas kaki sendiri.

Menyedari perubahan yang dilakukan itu serta penubuhan dan gerakan baharu yang muncul selepas pengharaman ajaran al-Arqam sebelum ini, Muhammad Kamaludin menggesa agar GISBH dibanteras sehingga ke akar umbi.

Dia menambah, GISBH merupakan serpihan ajaran yang telah difatwakan sesat oleh kerajaan Malaysia kerana mengajar ahli agar taksub kepada pemimpin.

“Jika tidak ditangani dengan serius, kemungkinan akan muncul (gerakan baharu) kerana sudah banyak kali percubaan yang berlaku. Apabila ada pengharaman atau tangkapan, selepas itu masih ada syarikat-syarikat baharu yang dibangunkan.

“Hal ini telah ditanam dan didoktrin kepada setiap ahli sehingga menjadi sebati dalam diri mereka,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Kamaludin juga mendedahkan bahawa arahan untuk menukar imej tersebut diberikan oleh salah seorang ahli pimpinan tertinggi yang masih belum ditahan. Menurutnya, individu tersebut merupakan penterjemah kepada pengasas gerakan al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad yang lebih dikenali sebagai Abuya.

“Itu adalah arahan pemimpin yang masih bebas. Apabila arahan masih berjalan, ahli-ahli akan mengikuti apa yang diarahkan demi kelangsungan jemaah.

“Dulu, semasa Arqam, beliau adalah penterjemah arwah Ashaari di negara Arab kerana menjadi pelajar kumpulan itu di Jordan dan merupakan kepimpinan muda,” tambahnya.

BACA: ‘Jangan risau, PN takkan perintah Johor’ Presiden Gerakan akui PN sukar raih undi cina