Pakar dedah 3 sebab kenapa tayar lori mudah tercabut

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

Tayar kenderaan berat seperti lori sering menghadapi risiko tercabut, dan ini berpunca daripada tiga faktor utama: beban berlebihan, tekanan udara yang tidak sesuai, serta kegagalan mekanikal.

Menurut Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Law Teik Hua,

Muatan berlebihan menjadi punca utama tayar mengalami tekanan melampau sehingga menyebabkan kehausan cepat atau kegagalan tayar.

Beban Berlebihan dan Tekanan Udara

“Apabila lori membawa muatan melebihi had dibenarkan, tayar terpaksa menanggung beban yang tidak sepatutnya, meningkatkan risiko kerosakan,” katanya.

Pakar dedah 3 sebab kenapa tayar lori mudah tercabut

Dr. Law turut menegaskan bahawa tekanan udara yang tidak sesuai, sama ada terlalu rendah atau tinggi, boleh menyebabkan tekanan tidak seimbang pada tayar. Ini mengakibatkan struktur tayar menjadi rosak atau haus dengan lebih cepat.

Kegagalan Mekanikal
Beliau juga menyebut kegagalan mekanikal sebagai penyebab lain. “Kerosakan pada rim, kebocoran, atau kelemahan bahan tayar akibat kecuaian juga menyumbang kepada risiko tayar tercabut,” jelasnya.

Tragedi Kemalangan PLUS
Beliau mengulas demikian berikutan insiden tragis yang meragut tujuh nyawa, termasuk lima sekeluarga, di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara di Melaka pada Isnin. Insiden tersebut membabitkan lima kenderaan, termasuk sebuah treler dan bas pelancong.

Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tayar sebuah lori yang tercabut, menyebabkan bas pelancong hilang kawalan dan merempuh tiga kenderaan lain.

Penguatkuasaan dan Teknologi Penting
Dr. Law menegaskan pentingnya penguatkuasaan lebih ketat terhadap had muatan lori. “Apabila lori membawa beban berlebihan, tekanan pada tayar dan gandar meningkat, menyebabkan kerosakan lebih cepat dan risiko kemalangan bertambah,” katanya.

Beliau juga mencadangkan keperluan untuk mewajibkan sistem amaran tekanan tayar (TPMS) bagi kenderaan berat. “Sistem ini boleh memberi amaran awal kepada pemandu jika tekanan tayar tidak normal, mengelakkan kerosakan serius, serta memanjangkan jangka hayat tayar,” katanya.

Tanggungjawab Bersama

Ditanya tentang tanggungjawab dalam kes tayar tercabut, Dr. Law menyatakan bahawa ia adalah tanggungjawab bersama operator, pemandu lori, dan majikan untuk memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum digunakan.

“Penguatkuasaan ketat, teknologi canggih seperti TPMS, dan kesedaran pihak berkaitan amat penting untuk mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada kegagalan tayar,” katanya lagi.

BACA: ‘Isteriku kaki penipu, sekejap mengaku engineer, kejap pakar pemakanan, pakar pediatrik, ejen insurance’