Pakar kewangan kongsi 6 langkah elak kereta kena tarik pasti jadi, tinggal nak ikut dengan tak je

Oleh ZULQARNAIN ISMAIL

Krisis kewangan boleh menimpa sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

Mereka yang mengalaminya sering berdepan dengan bebanan hutang yang tinggi,

sama ada daripada institusi kewangan, pinjaman koperasi, atau antara rakan dan keluarga.

Ada juga yang kehilangan harta benda akibat dilelong oleh pemiutang atau kenderaan yang ditarik balik.

Jika anda menghadapi situasi di mana kereta ditarik kerana gagal membayar ansuran, berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil menurut Pakar Kewangan dan Motivator, Dr. Azizul Azli Ahmad.

Pakar kewangan kongsi 6 langkah elak kereta kena tarik pasti jadi, tinggal nak ikut dengan tak je

1. Hubungi Pihak Bank

Langkah pertama adalah menghubungi pihak bank yang menarik kereta anda. Dapatkan maklumat terperinci mengenai jumlah tunggakan, sebab penarikan, dan proses untuk mendapatkan semula kereta.

2. Semak Baki Tertunggak

Dapatkan penyata terkini untuk mengetahui jumlah tunggakan ansuran, faedah, dan yuran tambahan yang mungkin dikenakan, seperti kos penarikan dan penyimpanan kereta.

3. Berbincang dengan Pihak Bank

Cuba berunding dengan pihak bank untuk mendapatkan pelan pembayaran yang lebih sesuai. Dalam beberapa kes, bank mungkin bersedia menawarkan pelan pembayaran tertunggak secara ansuran atau melanjutkan tempoh pembayaran.

Jika keadaan kewangan tidak membolehkan anda membayar semua tunggakan sekaligus, tanyakan kepada pihak bank tentang kemungkinan menstruktur semula pinjaman, seperti melanjutkan tempoh pinjaman atau mengurangkan bayaran bulanan.

4. Buat Bayaran Tertunggak

Jika anda ingin mendapatkan semula kereta, anda perlu melangsaikan ansuran tertunggak, termasuk kos penarikan dan penyimpanan. Hanya selepas pembayaran ini dibuat, barulah anda boleh menuntut kereta.

5. Jual Balik Kereta

Jika anda tidak mampu menanggung ansuran, mungkin lebih baik untuk berbincang dengan pihak bank mengenai penjualan kereta bagi menutup baki hutang. Dalam kes ini, bank mungkin akan membantu menjual kereta, dan hasil jualan akan digunakan untuk membayar hutang.

6. Dapatkan Nasihat Kewangan

Jika anda tidak pasti bagaimana untuk menguruskan situasi ini, dapatkan nasihat daripada penasihat kewangan atau kaunselor kredit yang boleh membantu anda membuat keputusan yang lebih bijak mengenai kewangan anda.

Elakkan Merosakkan Kenderaan

Jangan merosakkan kenderaan kerana hutang kenderaan masih atas nama anda. Merosakkan kenderaan hanya akan mengurangkan nilai semasanya. Semakin rendah nilai kenderaan, semakin besar hutang anda.