Panas !!! Bekas speaker Perak sekolahkan speaker dewan rakyat

Panas !!! Bekas speaker Perak sekolahkan speaker dewan rakyat

Saya terkejut dan terperanjat dengan pandangan yang diluahkan oleh Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar bin Azizan Harun bahawa beliau tidak ada kuasa untuk mempercepatkan perbahasan Usul Tidak Percaya Terhadap Perdana Menteri. Pandangan beliau adalah jelasnya tidak betul, bertentangan dengan logik dan undang-undang Malaysia. Jika pandangannya betul, tidak ada Usul Tidak Percaya Terhadap Perdana Menteri boleh dibawa jika Perdana Menteri tidak bersetuju dengan usul tersebut. Datuk Azhar telah menyebabkan Parlimen tunduk kepada Eksekutif padahal dalam sistem demokrasi di bawah Perlembagaan Persekutuan kita, pihak Eksekutif hendaklah bertanggungjawab kepada Parlimen.

Kedudukan undang-undang dalam isu ini amat jelas. Usul Tidak Percaya Terhadap Perdana Menteri (dan kerajaannya) mesti diberikan keutamaan melepasi semua perkara-perkara lain di Parlimen. Profesor Datuk Shad Saleem Faruqi telah dengan betul menyatakan bahawa Yang Di Pertua Dewan Rakyat tidak harus berlindung di belakang Perintah Tetap Dewan Rakyat yang bukan pun satu undang-undang tetapi satu peraturan berkenaan mesyuarat dalaman Dewan Rakyat. Perintah Tetap Dewan Rakyat tidak boleh mengatur atau mengawal perkara-perkara yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi tanah air kita.

Yang Di Pertua Dewan Rakyat diingatkan bahawa beliau dan semua ahli Parlimen telah mengangkat sumpah untuk menegakkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan bukannya Perintah Tetap Dewan Rakyat.

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sekiranya Perdana Menteri terhenti daripada mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen, kecuali dengan permohonannya Yang Di Pertuan Agong membubarkan Parlimen, Perdana Menteri hendaklah mempersembahkan letak jawatan jemaah menterinya.

Selama lebih daripada 40 tahun sejak kes Ketua Menteri Sarawak yang pertama, Stephen Kalong Ningkan v Government of Malaysia (1968) 1 MLJ 119 sehingga krisis Negeri Perak pada tahun 2009, adalah tidak dipertikaikan bahawa Dewan Perundangan Negeri atau Parlimen merupakan satu-satunya tempat untuk menentukan samada seseorang Ketua Menteri, Menteri Besar atau Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Negeri atau ahli-ahli Parlimen. Kedudukan ini berubah sedikit dengan kes krisis Negeri Perak dalam kes Dato’ Seri Ir. Nizar Jamaluddin v Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir (2010) 2 CLJ 925 di mana telah diputuskan bahawa sokongan majoriti juga boleh ditentukan dengan cara lain di luar Dewan Perundangan Negeri atau Dewan Rakyat.

Sungguhpun telah berubah sedikit kedudukan undang-undang dalam isu ini tetapi adalah jelas Dewan Rakyat masih merupakan satu tempat untuk sokongan majoriti Perdana Menteri ditentukan. Sebenarnya, Dewan Perundangan Negeri dan Dewan Rakyat merupakan tempat terbaik untuk penentuan tersebut dibuat kerana selepas kes Dato’ Seri Ir. Nizar Jamaluddin v Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pelantikan Ketua Menteri, Menteri Besar dan Perdana Menteri telah menjadi sedikit kucar-kacir. Kita nampak Tan Sri Musa Aman dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah selepas pilihanraya umum tetapi tidak sampai 48 jam kemudian Dato’ Seri Shafie Apdal telah dilantik sebagai Ketua Menteri baru. Keadaan tidak menentu terus berlaku di Sabah selepas pelantikan Dato’ Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah baru. Begitu juga keadaan tidak menentu berlaku dalam pelantikan Menteri Besar baru Johor, Perak dan Kedah dan pelantikan Ketua Menteri baru Melaka. Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia baru juga tidak terkecuali daripada keadaan tidak menentu ini. Senario ketidaktentuan ini juga disebabkan wakil-wakil rakyat dibenarkan melompat kepada parti yang lain.

Kedudukan undang-undang sekarang menggalakkan sesetengah pihak untuk cuba memikat wakil-wakil rakyat untuk melompat ke parti yang lain sungguhpun Dewan Perundangan Negeri atau Dewan Rakyat tidak bersidang. Keadaan ini amatlah tidak sihat.

Saya ingin mengingatkan Datuk Azhar bahawa adalah lumrah (dari segi konvensyen) Usul Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri hendaklah merupakan perkara pertama dalam agenda persidangan Parlimen. Ini adalah kerana tidak ada faedahnya ahli-ahli Parlimen membincangkan perkara-perkara lain dalam agenda apabila Kerajaan sedia ada tidak dapat bertahan lagi.

Usul Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri tidak boleh dianggap sebagai urusan ahli parlimen persendirian yang dianggap lebih rendah tarafnya daripada urusan kerajaan (seperti yang ditafsirkan oleh Datuk Azhar) tetapi satu usul yang menentukan sama ada kerajaan sedia ada yang bertanggungjawab kepada Parlimen masih boleh dibenarkan untuk terus mentadbir negara.

Oleh yang demikian, saya menyeru agar Dato’ Azhar supaya bertindak secara terhormat mengikut lunas undang-undang dan tidak berat sebelah membuat tafsiran peribadi untuk melindungi kerajaan yang melantiknya sebagai Yang Di Pertua Dewan Rakyat.

Bertarikh 18hb Oktober 2020 (Ahad)

Dato’ Ngeh Koo Ham
Ahli Parlimen Kawasan Beruas

COMMENTS