Panas!!! Blogger Umno disaman RM150 juta

Panas!!! Blogger Umno disaman RM150 juta

Pengasas dan pengarah syarikat pembekalan dan pengedaran daging halal, Raihanah Cold Storage Sdn. Bhd. memfailkan saman fitnah terhadap pemilik akaun Facebook, Zaharin Mohd. Yasin dan menuntut ganti rugi RM50 juta atas dakwaan memfitnah dengan mengaitkan mereka dengan isu kartel daging import tidak halal.

Pengasas, Rahman Sheikh Abdullah, 45, dan isterinya, Raihanah Kasim,43, dan syarikat Raihanah Cold Storage selaku plaintif pertama hingga ketiga memfailkan saman itu melalui firma guaman, Tetuan J.S. Pillay & Mohd. Haaziq pada 27 Januari lalu dengan menamakan Abd. Zarin Mohd. Yasin sebagai defendan tunggal.

Abd. Zarin, 69, turut dikenali sebagai Zaharin Mohd. Yasin atau Sang Kelembai.

Menurut pernyataan tuntutan yang diperolehi melalui carian dalam talian, defendan telah mengeluarkan satu artikel berbaur fitnah sekitar Disember 2020 berkaitan pengedaran daging lembu tidak halal bersama-sama gambar plaintif pertama,nama penuh serta salinan kad pengenalan plaintif kedua dan dokumen carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) plaintif ketiga.

Artikel yang mengandungi pernyataan berbaur fitnah itu antara lainnya memberikan gambaran bahawa Rahman dan Raihanah, walaupun seorang beragama Islam, telah mengedar dan menjual daging tidak halal di pasaran, menjual daging haram sebagai halal dan korup.

Pernyataan fitnah itu turut menggambarkan syarikat Raihanah Cold Storage yang merupakan sebuah syarikat yang 100 peratus dimiliki oleh orang Islam telah menipu orang awam dengan menjual daging haram sebagai halal dan tidak jujur serta tidak beretika dalam menjalankan perniagaan.

Penyiaran artikel terbabit yang didakwa dibuat dengan niat jahat dan tanpa usul periksa telah menjejaskan reputasi kesemua plaintif, merosakkan nama baik mereka dan menyebabkan kerungsingan.

Sehubungan itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi secara keseluruhannya RM150 juta, ganti rugi atas niat jahat defendan dan perintah injuksi bagi menghalang Abd. Zarin menerbitkan semula pernyataan berbaur fitnah itu dalam apa jua bentuk.

Turut dimohon ialah faedah sebanyak lima peratus atas jumlah ganti rugi dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.

Semakan pada sistem mahkamah mendapati kes ini ditetapkan untuk pengurusan kes pada 26 Februari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Shuhada Ramli. –UTUSAN