Panas !!! Dakwaan pensyarah UiTM diminta berundur, mahasiswa tuntut penjelasan

Panas !!! Dakwaan pensyarah UiTM diminta berundur, mahasiswa tuntut penjelasan

Kumpulan pelajar memohon pengesahan berhubung dakwaan seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) diminta meletakkan jawatan selepas dikaitkan dengan lawatan pelajar ke sebuah parti politik pembangkang.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Ahmad Farhan Rosli berkata jika benar dakwaan itu ia bercanggah dengan prinsip kebebasan akademik dalam syor Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

“Hak, tanpa batasan oleh doktrin yang ditetapkan, kebebasan mengajar dan berdiskusi, kebebasan dalam menjalankan penyelidikan dan menyebarkan serta menerbitkan hasilnya, kebebasan untuk menyatakan pendapat mereka secara bebas mengenai institusi atau sistem tempat mereka bekerja, kebebasan dari penapisan institusi dan kebebasan untuk mengambil bahagian dalam badan akademik profesional atau wakil,” kata Farhan.

Semalam, sembilan alumni Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) UiTM Raub, memohon penjelasan UiTM berhubung dakwaan pensyarah kanan fakulti itu Che Hamdan Che Mohd Razal dipaksa meletakkan jawatan sebagai penolong rektor UiTM Raub.

Surat itu hadir selepas muncul ciapan di Twitter mendakwa Che Hamdan diminta meletakkan jawatan kerana membenarkan lawatan sambil belajar pelajar ke ibu pejabat sebuah parti pembangkang.

Persatuan Alumni Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Se-Malaysia berkata isu itu urusan pentadbiran dalaman universiti dan mereka menyerahkan sepenuhnya kebijaksanaan pentadbiran dalam mencari penyelesaian terbaik.

Che Hamdan ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu. Malaysiakini sejak semalam telah menghubungi UiTM dan sedang menunggu maklum balasnya.

Sementara itu, PKPIM juga menuntut universiti bersikap adil dan tidak mengekang pensyarah menjalankan tanggungjawab intelektual mereka bagi tujuan ilmiah.

“Para pensyarah dan para mahasiswa wajar diberikan kebebasan akademik dalam kerangka yang benar bagi memastikan kualiti pendidikan tinggi negara tidak terjejas,” katanya.

‘Lawat pejabat Umno tak apa?’

Sementara itu, kumpulan mahasiswa pro-DAP Mahasiswa Roket berkata mereka kesal dan dukacita dengan apa yang berlaku terhadap Che Hamdan.

Mahasiswa Roket berkata apa yang berlaku sungguh memalukan bagi sebuah institusi yang mempunyai nama yang gah kerana mengambil tindakan sedemikian.

“Kami mengecam tindakan tersebut kerana difahamkan tujuan lawatan itu tersebut dilakukan bagi memenuhi salah satu kriteria dalam silibus bagi subjek PAD270 – Malaysian Politics (politik Malaysia),” katanya.

Tambah Mahasiswa Roket, mereka percaya jika lawatan ini dilakukan ke ibu pejabat Umno, tiada tindakan yang akan diambil.

“UiTM harus menjadi wadah politik yang bebas dan tidak menjadi markas bagi sesuatu parti politik,” katanya. – MK