Panas!!! Dewan Himpunan Pas desak MB Kedah kembalikan cuti Thaipusam

Panas!!! Dewan Himpunan Pas desak MB Kedah kembalikan cuti Thaipusam

Kumpulan penyokong bukan Islam PAS mendesak Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mengkaji semula keputusan membatalkan cuti peristiwa untuk sambutan Thaipusam tahun ini.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP), N Balasubramaniam, berkata penarikan cuti itu menyebabkan penganut Hindu tidak puas hati, sekaligus memberi persepsi negatif terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS.

“Walaupun perayaan Thaipusam adalah cuti peristiwa dan bukanlah cuti umum di Kedah, saya menggesa MB Kedah dapat mengkaji semula pemberian cuti peristiwa tersebut.

“Saya menyedari kita masih berada dalam situasi PKP yang menyebabkan Thaipusam tidak boleh diadakan secara besar-besaran namun penarikan semula cuti peristiwa ini isu sensitif yang perlu dipertimbangkan dari pelbagai sudut.

“Isu ini sekaligus memberi pandangan negatif terhadap kerajaan yang dipimpin oleh PAS,” katanya kepada FMT.

Katanya, perayaan Thaipusam bukan sahaja perayaan di kuil tetapi juga diraikan bersama keluarga di rumah dengan melakukan ritual tertentu mengikut agama Hindu.

“Untuk itu penganut Hindu memerlukan cuti untuk meraikan bersama keluarga.

“DHPP bersedia untuk memberikan pandangan terhadap isu-isu berkaitan dengan agama kepada menteri besar Kedah pada masa depan sekiranya timbul sebarang kemusykilan yang memerlukan penjelasan terpeinci,” katanya.

Semalam, Sanusi mengumumkan cuti peristiwa yang sebelum ini ditetapkan untuk sambutan Thaipusam pada 28 Jan dibatalkan.

Ini kerana segala acara bersempena perayaan itu dibatalkan ekoran pelaksanaan PKP di seluruh Semenanjung. Dalam pada itu negara juga diletakkan bawah perintah darurat bagi membantu mengekang Covid-19 yang semakin serius.

Tindakan Sanusi itu dikecam beberapa pemimpin termasuk dari MIC dan DAP. – MK