Panas !!! Ismail Sabri kena ‘sound’ dengan akar umbi Umno

Panas !!! Ismail Sabri kena ‘sound’ dengan akar umbi Umno

Saya merasa terpanggil untuk mengulas mengenai isu pelantikan bagi jawatan timbalan perdana menteri untuk Umno yang kini kembali hangat selepas Belanjawan 2021 berjaya diluluskan di Parlimen, baru-baru ini.

Isu itu kembali hangat, selepas naib presiden Umno, Ismail Sabri mengatakan beliau akan membangkitkan isu jawatan itu kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selepas perbahasan Belanjawan 2021.

Di atas kebijaksanaan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, beliau dengan segera menasihatkan pemimpin, anggota parti itu agar tidak mendesak Muhyiddin untuk mewujudkan semula jawatan TPM dan diberikan kepada Umno.

Dari sini, kita dapat melihat bahawa tindakan yang akan diambil oleh Ismail Sabri itu adalah bersifat peribadi, di luar pengetahuan presiden Umno dan tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat tertinggi Umno.

Mana mungkin cadangan atau tindakan sebesar itu akan diusahakan oleh naib presiden dan bukannya oleh presiden Umno, yang mana akan memperlihatkan kepada umum seolah-olah tindakan Ismail Sabri itu seperti ‘lebih sudu dari kuah’.

Dengan hakikat bahawa Ahmad Zahid kini terpalit dengan isu mahkamah dan timbalannya, Mohamad Hasan bukan aanggota parlimen, apakah Ismail Sabri mahu memberitahu dunia bahawa dia adalah pemimpin yang layak untuk dinaikkan pangkat menjadi TPM?

Walaupun Umno mempunyai tiga naib presiden, namun Ismail Sabri adalah yang paling menonjol selaku menteri kanan dengan wajahnya terpampang di televisyen pada setiap hari sebagai jurucakap kerajaan dalam isu Covid-19.

Dengan pilihanraya umum ke-15 yang hanya menunggu masa untuk diadakan sejurus selepas negara berjaya mendapat vaksin Covid-19, apakah Umno masih mahu menagih jawatan nombor dua itu untuk tempoh yang terlalu singkat?

Bagi akar umbi Melayu seperti kami, adalah lebih baik untuk Umno menggiatkan lagi perjuangan, usaha dan bekerja keras demi mendapatkan kembali sokongan jutaan pengundinya yang telah lari meninggalkan parti itu pada PRU14.

Meminta jawatan TPM itu hanya akan memperlihatkan betapa tamak dan gelojohnya Umno untuk berebut kerusi tertinggi dalam kerajaan, setelah Bersatu kini dilihat semakin berpengaruh dan teguh di bawah pimpinan Muhyiddin.

Ingatlah Umno, kedudukan kamu tidak lagi sekuat, sehebat dahulu dan PRU15 kali ini adalah peluang kedua untuk membuktikan parti itu masih relevan dan masih popular di kalangan pengundi Melayu, yang kini mempunyai pilihan untuk bersama Bersatu, jika tidak mahu terus berpaut pada Umno.

Kalau rakyat terutama orang Melayu masih melihat kamu sebagai parti yang dahagakan kuasa dan gelojoh untuk kembali berebut kuasa tanpa mahu berubah sikap walaupun selepas tumbang pada PRU14, tidak salah untuk mereka sekali lagi menolak kamu pada PRU15.

Kepada Ismail Sabri, berhentilah untuk menjadi popular dengan memberikan cadangan seperti itu dan lebih baik untuk kamu menggunakan jawatan naib presiden Umno untuk menguatkan parti dengan cara menunjukkan kepimpinan melalui teladan dalam menangani Covid-19.

Harus disedari, tidak semua SOP atau kaedah yang kerajaan jalankan semasa musim Covid-19 ini digemari oleh semua rakyat kerana mereka yang hilang pekerjaan, punca pendapatan dan sesak dalam perbelanjaan terus pening dengan politik gila kuasa yang semacam menjadi darah daging pemimpin Umno.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/553160