PANAS | Pejuang sudah ada ‘Plan B’ jika tak diluluskan – Tun M

PANAS | Pejuang sudah ada ‘Plan B’ jika tak diluluskan – Tun M

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya mempunyai ‘pelan B’ sekiranya parti itu tidak diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan ‘pelan B’ terbabit dan menyatakannya ia sebagai rahsia.

“Tidak boleh bagi tahu anda tetapi seperti yang anda ketahui semasa kami dalam Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), pada saat akhir kerajaan memadamkan pendaftaran Bersatu dan enggan mendaftarkan Pakatan Harapan.

“Bagaimanapun, kami berjaya mengharunginya dan memenangi pilihan raya,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Perjuangan 2021 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Pejuang dilaporkan telah mengemukakan permohonan secara rasmi kepada RoS bertarikh 19 Ogos 2020 bagi proses pendaftaran tersebut. Pada 10 Disember lalu, Pejuang turut memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Ketua Pengarah RoS dan pertubuhan itu sendiri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dr Mahathir dalam masa yang sama turut menyatakan agar mempercayai pihaknya berkenaan perkara terbabit.

“Percaya pada kami, kami tahu bagaimana mahu melakukan sesuatu perkara,” katanya.

Mengulas isu sama, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu telah menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mewakili parti itu buat sementara.

“Saya mohon supaya kita banyak bersabar. Dengan kelulusan RoS, kita dah tubuhkan sebuah NGO Pertubuhan Gerak Khidmat Rakyat Malaysia (Khidmat).

“Gunalah NGO mewakili parti, bila parti dah lulus ambillah sebagai usaha-usaha yang dilakukan oleh Pejuang,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/117041/BERITA/Politik/Pejuang-ada-pelan-B-jika-tidak-diluluskan-kata-Tun-M