Panas !!! Shafie cadang potong gaji menteri dan bos GLC, bantu golongan memerlukan

Panas !!! Shafie cadang potong gaji menteri dan bos GLC, bantu golongan memerlukan

Menjelang pembentangan belajawan persekutuan Jumaat ini, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal mencadangkan pelan pemulihan ekonomi 2 tahun, termasuk memberi bantuan tunai bulanan kepada semua keluarga B40.

Beliau juga mencadangkan potongan gaji menteri dan bos GLC bagi membantu membiayai bantuan kewangan kepada golongan memerlukan.

Shafie berkata, walaupun kerajaan mengumumkan bantuan berjumlah RM295 bilion melalui semua pakej rangsangan, namun bantuan tunai langsung sebanyak RM45 bilion yang diberikan adalah rendah berbanding negara lain di rantau ini seperti Singapura, Thailand dan Filipina.

Katanya, bagi melindungi kehidupan rakyat, harus ada langkah segera bagi memastikan jaringan keselamatan disediakan dalam bentuk tunai di tangan supaya mereka dapat melalui pandemik Covid-19.

“Bantuan tunai sebanyak RM750 sebulan selama 12 bulan akan datang kepada semua keluarga B40 harus diberikan dan RM500 sebulan kepada keluarga M40, ibu tunggal, orang tua, golongan cacat anggota dan gelandangan,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, penerima berumur 18 tahun ke atas mesti berdaftar dengan Lembaga hasil Dalam Negeri (LHDN), Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau juga mencadangkan semua 110 program bantuan sosial dan jaringan keselamatan sosial dikendalikan oleh sekurang-kurangnya 30 agensi kerajaan dan kementerian digabungkan dan dipusatkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk penyelarasan yang lebih baik dan penjimatan kos.

Shafie menegaskan bantuan untuk menangani pandemik perlu menjadi keutamaan, dengan kementerian dan agensi yang berkaitan diberi sumber yang mencukupi.

Pemberian tunai bulanan sehingga RM1,000 untuk 6 bulan juga perlu diberikan kepada mereka yang menganggur akibat pemberhentian kerja atau penamatan kontrak, tidak termasuk yang berada di bawah sistem insurans pekerjaan Perkeso (EIS).

Selain itu, bagi membantu keluarga yang memerlukan wang tunai, kerajaan perlu mempertimbangkan kredit mikro kecemasan kepada isi rumah yang bermasalah, dengan pinjaman tanpa faedah maksimum sebanyak RM2,500 kepada keluarga dan tambahan pinjaman tanpa faedah tambahan RM 2,500 untuk membina semula kehidupan mereka.

Sebagai bantuan untuk memulakan semula perniagaan, beliau mencadangkan supaya pemberian sebanyak RM 6,000 diberikan kepada semua yang bekerja sendiri, termasuk pekerja bebas, yang dibayar dalam jumlah yang sama sebanyak RM500 sebulan.

Cadangan lain dalam senarai panjang pemimpin itu, termasuk bagaimana untuk membiayai rancangan itu, yang dianggarkan berjumlah RM115 bilion tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan perlu memanfaatkan beberapa dana rizab dan melepaskan sebahagian sahamnya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan tempatan (GLIC) dan tabung pencen.

“Entiti awam yang dimiliki oleh rakyat seperti KWSP dan Tabung Haji (antara lain) akan menjadi penerima faedah utama daripada langkah pempelbagaian itu. Dengan cara itu, aset kerajaan akan dimiliki secara langsung oleh rakyat,” katanya.

Katanya, kaedah lain untuk mengumpulkan wang itu adalah dengan meminjam RM40 bilion tahun depan serta memotong gaji menteri dan timbalan menteri sebanyak 30% untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Beliau berkata gaji bos GLC dan GLIC serta ahli lembaga pengarah juga perlu dipotong kerana “sebilangan mereka mendapat gaji yang tinggi walaupun bekerja untuk firma milik awam.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/05/shafie-cadang-pelan-pemulihan-ekonomi-2-tahun-menjelang-pembentangan-belanjawan/