Panas !!! Wan Fayshal kritik Najib kerana sindir Azmin

Panas !!! Wan Fayshal kritik Najib kerana sindir Azmin

Bagi Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal, tiada keperluan untuk merombak barisan jemaah menteri semasa, seperti yang dibayangkan Najib Razak dalam kenyataannya semalam.

Dia mengulas kenyataan bekas perdana menteri itu yang antara lain menyebut Umno perlu diberi lebih peranan dalam menentukan hala tuju kewangan dan ekonomi yang menurutnya kini dimonopoli Bersatu.

Kata Wan Fayhsal, barisan menteri Perikatan Nasional (PN) – khususnya berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan – menunjukkan pencapaian yang baik.

“Buat masa ini perdana menteri (Muhyiddin Yassin) mendapat nasihat dan bantuan yang efektif daripada menteri kewangan (Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz) yang dilantik bukan dari kalangan ahli politik.

“Rakyat berpuas hati dan Laksana (Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional) jelas menunjukkan kerajaan benar-benar prihatin kepada rakyat.

“Zafrul telah tunjukkan contoh yang baik dari segi pelaksanaan dasar ekonomi dan kewangan dibantu oleh menteri yang berpengalaman seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dan Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Mohamed Azmin Ali.

“Benda tak rosak, kenapa nak baiki?” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Najib menerusi hantaran di Facebooknya semalam menjelaskan cadangannya berkenaan pendekatan yang perlu diambil oleh BN dalam situasi politik semasa.

Menurut Najib, dia antara lain mencadangkan kerjasama bersyarat dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim sehinggalah PRU15 diadakan.

Antara syarat yang disebutnya ialah Umno diberi peranan dalam hala tuju kewangan dan ekonomi.

“Menteri kanan yang paling kanan, menteri kewangan, menteri ekonomi dan Majlis Tindakan Ekonomi tanpa sebarang wakil dari parti Umno, PAS atau mana-mana parti lain,” katanya.

Meskipun tidak menyebutkan nama, “menteri kanan paling kanan” yang dimaksudkan dipercayai merujuk kepada Azmin yang merupakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Jelas Najib, dengan Umno memainkan peranan dalam kewangan dan ekonomi, mereka boleh membantu merancang pelan rangsangan ekonomi yang lebih berkesan, dan mempercepatkan bantuan khusus untuk Sabah serta lanjutan moratorium pinjaman.

Dia turut meluahkan kekecewaan berhubung pengendalian Covid-19 oleh kerajaan PN, terutamanya yang melibatkan kluster penjara.

Walaupun Umno tidak terlibat dalam kementerian berkaitan, katanya, parti itu tetap akan turut dipersalahkan.

‘Tanggungjawab bersama Kabinet’

Ahmad Fayhsal bagaimanapun menganggap ia sebagai pandangan peribadi Najib dan ahli parlimen Pekan itu berhak mengutarakannya.

Bagi ketua pemuda Bersatu itu, menteri-menteri Umno dalam Kabinet PN pada masa ini juga menyumbang kepada tanggungjawab bersama untuk menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi gara-gara Covid-19.

Sebelum ini, spekulasi mengatakan sebahagian besar ahli parlimen dari Umno akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri untuk menubuhkan kerajaan baru.

Mesyuarat biro politik Umno turut mengeluarkan kenyataan untuk menimbang semula kerjasama dengan PN dan mahu syarat baru bagi meneruskannya.

Semalam, ahli Parlimen BN dan Majlis Tertinggi Umno masing-masing mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu. Keputusan akhirnya dicapai untuk kekal menyokong kerajaan PN, dan menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.

Namun, mereka menggesa penambahbaikan kerjasama berdasarkan nilai penghormatan dan konsensus politik.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/548346