Panas !!! Zahid dakwa hanya terima peruntukan sama seperti pembangkang

Panas !!! Zahid dakwa hanya terima peruntukan sama seperti pembangkang

Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beliau dan beberapa Ahli Parlimen parti itu mendapat peruntukan bagi kawasan masing-masing sama seperti wakil rakyat pembangkang.

Presiden Umno itu berkata, kawasan Parlimennya hanya mendapat RM100,000 setahun untuk 2021, berbeza dengan Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendapat RM3.7 juta setahun.

Beliau mendakwa Ahli Parlimen Umno lain yang senasib dengannya ialah Ahmad Maslan (Pontian), Najib Razak (Pekan), Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).

“Alhamdulillah dapat RM100,000, cukuplah untuk bahagian Bagan Datuk, bahagian paling mundur di Perak.

“Saya ucap terima kasih untuk peruntukan diberikan.”

“Mudah-mudah terbuka hati sesiapa buat keputusan itu untuk memberikan peruntukan sama dengan mana-mana Ahli Parlimen telah undi supaya Belanjawan 2021 yang kami sokong tiga kali di peringkat dasar, jawatankuasa dan bacaan kali ketiga.

“Sokong, tetapi hadiah kami dapat peruntukan RM100,000 setahun,” katanya secara sinis dalam temubual disiarkan secara langsung di Facebook.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, parti itu akan mengadakan dua kali perhimpunan agung tahun ini.

“Tahun ini adalah tahun pemilihan, tetapi oleh kerana tahun lalu tiada perhimpunan agung Umno, kita akan ada dua kali perhimpunan agung tahun ini.

“Satu perhimpunan agung tahunan biasa dan satu (lagi) perhimpunan agung tahunan, tetapi ada pemilihan.”

Pada 31 Jan lalu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan memberi bayangan perhimpunan agung parti itu akan diadakan secara maya, jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dan darurat masih berkuat kuasa.

Ahmad yang juga setiausaha agung Barisan Nasional (BN) bagaimanapun berkata, tarikh perhimpunan agung itu akan dimaklumkan kemudian seiring perubahan akibat Covid-19, malah Zahid dikatakan bersetuju pemilihan parti diteruskan di semua peringkat seperti dijadualkan pada tarikh bersesuaian tahun ini.

Sementara itu, Zahid berkata, beliau terbuka jika ada ahli yang mahu mencabarnya untuk jawatan presiden.

“Kali ini kalau tujuh orang nak tanding, eloklah meriah.

“Saya mesti terus menterjemahkan saya adalah seorang demokrat. Itu sebabnya pada 2018, jawatan presiden ditandingi tiga orang.” –FMT