Pangsapuri servis mewah bernilai RM1 juta di Setia Alam, Selangor, menanti atlet negara pertama yang memenangi pingat emas
Di Sukan Olimpik Paris 2024, yang dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata Jawatankuasa Road To Gold (RTG) telah menerima tawaran daripada pemaju hartanah
Top Residency, yang berminat untuk menghadiahkan pangsapuri kepada pemenang pingat emas pertama.
Beliau juga mengumumkan penajaan peribadi berjumlah RM1 juta daripada Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Bhd, Lim Kim Heng,
kepada tiga pemain badminton negara, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, dan Chen Tang Jie, yang pernah berada di bawah Program Bakat Badminton SS dari 2012 hingga 2016.
Sekiranya terdapat lebih daripada satu pemenang, wang tunai berkenaan akan dikongsi secara sama rata antara mereka.
“Emas Olimpik adalah kebanggaan Malaysia. Jadi, ini adalah platform untuk sektor swasta memainkan peranan dalam memberi ganjaran kepada atlet yang membawa pulang emas,” katanya pada sidang media yang mengumumkan insentif penajaan Sukan Olimpik Paris 2024 di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau juga menyatakan bahawa beberapa penaja lain telah menghubungi Jawatankuasa RTG dan kini sedang menguruskan dokumen guaman bagi memastikan komitmen tawaran insentif itu jelas dan sah.
Di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), pemenang emas Sukan Olimpik akan menerima RM1 juta, perak RM300,000, dan gangsa RM100,000.
Atlet juga akan menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat, di mana pemenang emas akan mendapat RM5,000, perak RM3,000, dan gangsa RM2,000.
Bulan lalu, Chery Malaysia mengumumkan ganjaran berupa sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada pemenang pingat Olimpik, iaitu Tiggo 8 Pro untuk pemenang pingat emas, Omoda E5 untuk pemenang perak, dan Tiggo 7 Pro untuk pemenang pingat gangsa.
BACA: “Ngam lepas kami langsungkan perkahwinan, terus aku rasa kehidupan macam kena control dengan mertua”