Parlimen harus bersidang penuh untuk bahas RUU pemandu mabuk

Parlimen harus bersidang penuh untuk bahas RUU pemandu mabuk

Berikut kenyataan media saya berhubung kesiapsagaan Parlimen untuk bersidang untuk sekurang-kurangnya 2 minggu untuk membahas pindaan kepada mana-mana RUU atau perbincangan polisi baru dalam langkah-langkah mencegah pemandu mabuk dan hukuman yg lebih berat.

Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Batu Kawan merangkap Setiausaha Antarabangsa Wanita DAP, Kasthuri Patto pada 4 Mac 2020 di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Utamakan keselamatan rakyat, sidang Parlimen pada 18 Mei mesti dilanjutkan bagi membahas pindaan legislatif untuk menggubal langkah-langkah pencegahan serta hukuman yang lebih berat dan perubahan polisi berkenaan pemandu mabuk sebelum lebih banyak jiwa terkorban akibat mereka.

Rakyat Malaysia meratapi pemergian Korporal Safwan Muhammad Ismail yang menjadi korban pemandu mabuk di plaza tol Kajang Selatan, semalam. Terutama sekali pada ketika ini, sewaktu seluruh negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, para petugas baris hadapan meletakkan nyawa mereka dalam risiko ketika menjalankan tugas, sambil kita selamat di rumah.

Semalam satu lagi nyawa terkorban akibat pemandu mabuk yang tidak bertanggungjawab dan tidak bertimbang rasa.

Saya telah mengajukan soalan ke Parlimen pada 21 Februari lalu tentang langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil oleh kerajaan untuk menangani isu penting ini, yang sepatutnya dijawab pada sidang 9 Mac. Namun, akibat rampasan kuasa yang berlaku pada bulan Mac lalu, sidang Dewan telah ditangguh sehingga 18 Mei, itu pun selama sehari sahaja.

Adalah memeranjatkan apabila kerajaan hari ini tidak begitu peduli tentang nasib petugas baris hadapan yang ditugaskan di sekatan jalanraya, dan rakyat Malaysia lainnya yang kehilangan anggota keluarga di tangan pemandu mabuk.

Dua menteri, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menzahirkan rasa dukacita mereka terhadap kemalangan terbabit dan keperluan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan – kedua-duanya menyokong supaya hukuman lebih berat dikenakan.

Bukankah sepatutnya kebimbangan mereka ini dikemukakan dalam sidang Parlimen yang akan datang?

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong masih belum mengeluarkan kenyataan tentang langkah-langkah pencegahan dan hukuman yang lebih berat termasuk denda yang lebih tinggi serta hukuman penjara yang lebih lama, serta penggantungan lesen memandu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin juga tidak menyebut apa-apa tentang peranan yang boleh dimainkan premis yang menjual atau menghidang minuman beralkohol, dalam memastikan mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol tidak dibiarkan memandu. Pastinya, beliau boleh merujuk amalan terbaik negara-negara luar dan kejayaan mereka dalam menguruskan kes pemandu mabuk.

Hukuman yang lebih berat mungkin berkesan sehingga satu tahap, tetapi cabaran sebenar ialah untuk mewujudkan cadangan-cadangan bagi mencegah pemanduan ketika mabuk. Langkah pencegahan dan hukuman yang lebih berat perlu berfungsi secara bersama bagi membanteras kes pemandu mabuk.

Apa yang perlu dilakukan oleh Menteri Pengangkutan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Menteri Alam Sekitar dan Air adalah untuk memperlihatkan pendirian masing-masing dan menuntut supaya perkara ini dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet dan menggesa Perdana Menteri serta pihak Kerajaan, terutamanya Menteri Undang-undang yang menguruskan hal ehwal Parlimen supaya menjamin sidang pada 18 Mei dilanjutkan sehingga dua minggu, supaya kerajaan boleh mengusulkan agar langkah-langkah pencegahan bagi membanteras pemanduan mabuk serta mengenakan hukuman yang lebih berat, dan dibahaskan oleh semua Ahli Parlimen.

Setelah PKP seakan-akan dihentikan secara pra-matang hari ini, dan lebih banyak premis dibuka, saya bimbang bilangan kemalangan akan bertambah, termasuklah yang disebabkan oleh pemandu mabuk.

Jangan ada lagi anggota polis atau petugas baris depan, serta rakyat Malaysia yang lainnya menjadi mangsa pemandu mabuk; biarpun melalui sebuah kerajaan yang lembap mahu memastikan adanya pindaan undang-undang dan perubahan dasar demi kepentingan rakyat.

Satu minggu lamanya Perikatan Nasional cuba membentuk kerajaan pintu belakang, bertentangan mandat rakyat. Tentu sekali Perdana Menteri boleh meminta Parlimen bersidang selama dua minggu untuk membincangkan isu-isu penting yang menyentuh kepentingan rakyat.

Rakyat Malaysia sama-sama bersedih dengan keluarga Allahyarham Korporal Safwan Muhammad, serta ramai lagi yang telah terkorban akibat pemandu mabuk. Salam takziah kepada keluarga Korporal Safwan.

#KitaJagaKita
#KitaJagaSemua

Kasthuri Patto
Ahli Parlimen Batu Kawan
Setiausaha Antarabangsa Wanita DAP

Sumber: