Parlimen tak bersidang, RUU berkaitan tak dibahas punca kes gangguan seksual berleluasa

Parlimen tak bersidang, RUU berkaitan tak dibahas punca kes gangguan seksual berleluasa

Kegagalan pihak kerajaan membenarkan sidang Parlimen berjalan menyebabkan ketika ini ugutan dan gangguan seksual sewenang-wenangnya dilakukan tanpa sebarang rasa takut.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Hasanuddin Yunos berkata, ini kerana tanpa persidangan Parlimen, Rang Undang-Undang Gangguan Seksual tidak dapat dibahaskan dan diluluskan.

Beliau berkata demikian susulan kes dua Adun DAP yang didakwa menerima ancaman rogol dan bunuh oleh seorang individu tidak dikenali di Facebook.

“Bagi memastikan urusan pentadbiran dan perundangan negara berjalan lancar, adalah amat penting sidang Parlimen dibenarkan berjalan dengan mengambil kira perubahan norma-norma baharu.

“Tanpa persidangan Parlimen, banyak undang-undang yang sepatutnya digubal untuk kesejahteraan rakyat tidak dapat dilaksanakan.

“Maka wajarlah sidang Parlimen dipercepatkan agar kekurangan yang ada ini dapat dibincangkan dan bukannya berselindung di sebalik wabak yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Terdahulu, Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei menerima ugutan rogol dan bunuh di Facebook.

Walau bagaimanapun, dua hari lalu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal memaklumkan menahan seorang lelaki yang berumur 40 tahun yang didakwa mengeluarkan kata ugutan tersebut.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, teknologi hari ini memungkinkan urus tadbir negara berjalan dengan baik dalam situasi pergerakan yang terhad dan ianya telah pun dapat dilaksanakan di negara-negara lain.

Namun beliau melahirkan persoalan bagaimana Malaysia boleh menjadi negara yang amat terkebelakang dalam menguruskan hal-hal sedemikian.

“Apakah situasi Covid-19 ini telah melenyapkan demokrasi pilihan rakyat dan memberi kesempatan kepada kerajaan pemerintah kini untuk menguruskan negara tanpa urus tadbir semak dan imbang,” katanya.

Berita penuh :https://malaysiadateline.com/parlimen-tidak-bersidang-faktor-ruu-gangguan-seksual-tidak-dapat-dibahas/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook