Pas dakwa MoU minta hak sama rata tak kira agama, sekali lain pula jadi TPM 1 dedah isi kandungan MoU

Oleh GEMILANGDAILY

Sehari selepas pihak pembangkang sebulat suara menolak memorandum persefahaman (MoU)

Berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Timbalan Perdana Menteri,

Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan dua draf sebenar dokumen yang menjadi kontroversi tersebut.

Menurutnya, tindakan ini diambil bagi membolehkan rakyat menilai sendiri bahawa semua dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai perjanjian itu adalah tidak berasas sama sekali.

“Memandangkan pihak pembangkang lebih suka membuat kenyataan melalui media berhubung MoU tersebut,

Pas dakwa MoU minta hak sama rata tak kira agama, sekali lain pula jadi TPM 1 dedah isi kandungan MoU

saya kemukakan dua draf perjanjian itu kepada pihak media untuk membuktikan ketelusan Kerajaan Madani.

“Niat Kerajaan Madani adalah untuk mewujudkan suasana aman harmoni dan supaya semua ahli Parlimen lebih memfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi dan memainkan peranan secara konstruktif sebagai semak dan imbang.

“Ini penting agar kita dapat menumpukan sepenuh tenaga dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Media pada Ahad melaporkan pembangkang sebulat suara menolak MoU atas empat sebab utama yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana beberapa syarat dalam dokumen itu dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Hamzah juga menyatakan bahawa MoU tersebut bertentangan dengan nilai budaya, moral, dan agama kerana syarat-syarat dalam draf MoU dilihat melanggar nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kandungan dokumen yang mengandungi enam inti pati utama itu jelas membuktikan komitmen kerajaan terhadap MoU tersebut.

Berdasarkan dokumen yang didedahkan itu, enam inti pati tersebut termasuk tempoh kuat kuasa dari tarikh MoU sehingga pembubaran Parlimen ke-15 atau pada 19 Disember 2027.

Antara inti pati tersebut juga adalah obligasi PN yang menyentuh peranan dan fungsi ahli Parlimen pembangkang sebagai komponen penting dan janji untuk bertindak sebagai wakil rakyat yang berwibawa, bertanggungjawab, dan membina sebagai komponen semak dan imbang.

“Selanjutnya, dalam draf tersebut terdapat obligasi Kerajaan Persekutuan, di mana kerajaan mengakui bahawa ahli PN mempunyai peranan besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan, dan Institusi Diraja.

“Inti pati seterusnya melibatkan ketelusan dan tiada kerahsiaan, di mana MoU ini tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan,” katanya.

Dokumen itu juga menyentuh aspek pemakaian undang-undang, di mana dokumen tersebut hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia.

Inti pati terakhir ialah MoU ini akan terbatal secara automatik dan pihak satu lagi tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut dokumen tersebut.

BACA: Ramai tak tahu Malaysia pernah ada Perdana Menteri dari kaum India, ini kisah Tun Sambanthan