Pas Kelantan tidak bertanding di kerusi Umno dan Bersatu

Pas Kelantan tidak bertanding di kerusi Umno dan Bersatu

Pas Kelantan mengambil pendekatan yang diguna pakai di peringkat nasional berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, langkah itu perlu dibuat bagi memastikan tiada pertembungan kerusi tiga penjuru membabitkan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) di Kelantan.

“Pada PRU15 nanti, Pas tidak akan bertembung kerusi dan pada asasnya, kerusi yang dimenangi UMNO, mereka akan kekal bertanding.

“Jika Pas menang, kita akan bertanding. Sebabnya nak mengelakkan pertandingan tiga penjuru. Ketetapan di peringkat Parlimen saya tidak terlibat, (cuma) pelaksanaan di negeri pun akan samalah nanti.

“Tindakan yang kita buat ini untuk mengukuhkan hubungan dalam MN dan PN,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Darulnaim, hari ini.

Mengulas lanjut, Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan itu berkata, pada PRU15 nanti, mana-mana kerusi yang dimenangi oleh parti itu maka parti tersebut akan mewakili MN dan PN.

Katanya, perbincangan untuk pembahagian kerusi DUN setakat ini masih belum dibuat.

Pada Isnin lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, rundingan antara UMNO dan Pas sudah selesai antara 60 dan 70 peratus dan dipersetujui bahawa UMNO akan bertanding bagi 55 kerusi yang dimilikinya manakala Pas tidak akan meletakkan calon.

Memetik kenyataan sama turut dipersetujui bahawa 18 kerusi Pas tidak akan ditandingi UMNO dan bagi kawasan yang gagal dipertahankan oleh kedua-dua parti tersebut.

Jika undi UMNO lebih maka UMNO bertanding dan Pas tidak akan bertanding begitu juga dengan Pas, jika undi mereka lebih, maka UMNO tidak akan bertanding.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/115061/BERITA/Politik/PRU15-Pas-elak-pertembungan-kerusi-di-Kelantan