Pas kini jadi rebutan ramai, kata Pemuda Pas

Pas kini dilihat menjadi parti rebutan ramai kerana terpaksa membuat pilihan antara Umno dan Bersatu dalam isu kerjasama untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.
Memetik laporan Malaysiakini, Fadhli Shaari bagaimanapun menafikan partinya kini berada dalam dilema serta tersepit antara Umno dan Bersatu.
“Saya tidak melihat PAS dalam keadaan tersepit. Saya melihat PAS merupakan suatu parti yang menjadi rebutan ramai.
“Itu bukan tersepit namanya. Kita mempunyai nilai yang tinggi sehingga dipercayai oleh Umno dan Bersatu,” katanya dalam sidang media selepas Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) pada pilihan raya negeri Melaka yang akan diadakan pada 20 November ini.
Bagaimanapun, Umno meletakkan syarat kepada Pas supaya menggunakan logo parti itu sendiri dalam pilihan raya negeri Melaka itu nanti.