Pas main ‘dua kolam’ untuk survival sendiri

Pas main ‘dua kolam’ untuk survival sendiri

Penganalisis tidak memandang tinggi kemampuan PAS menjadi kuasa penentu dalam pilihan raya umum akan datang .

Sseorang mereka berkata, parti itu cuba menjaga hati kedua-dua pihak apabila bersetuju menganggotai jawatankuasa protem untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama blok Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, PAS sentiasa mencari jalan selamat dengan memakai banyak topeng, dengan merujuk kepada sokongan parti itu supaya bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyudahkan tempoh penuh jawatannya.

“Akhirnya mereka meninggalkan Mahathir,” katanya.

Beliau melihat persamaannya dengan keadaan semasa, dengan berkata bahawa PAS berkemungkinan akan terus menyokong PN sehingga Parlimen dibubarkan.

“Politik sentiasa berubah-ubah. Keadaan yang berlaku dalam Muafakat Nasional (MN) memang dijangka. PAS bermain politik selamat.

“PAS menyertai jawatankuasa protem dengan PPBM untuk mendaftarkan PN hanya bagi mengekalkan kedudukannya dalam PN dan pada masa sama kekal bersama-sama MN.

“Tetapi apabila Parlimen dibubarkan, PAS akan condong kepada parti yang lebih dominan. Pada waktu itu, PAS mungkin memilih Umno kerana mereka melihat peluang untuk menang dan terus berkuasa adalah lebih besar dengan Umno,” katanya.

Azman berkata, PAS tidak mempunyai kemampuan untuk memimpin blok politik, tetapi akan terus menjadi pengikut. Sesuatu yang “sangat difahami oleh Umno”.

Beliau juga berkata, sukar bagi PAS untuk berperanan sebagai kuasa penentu kerana pengaruhnya terbatas di Pantai Timur.

“Tiada kemungkinan ia akan berdepan dengan Umno kerana jika itu berlaku, Umno akan menang. PAS akan mengikut mana-mana parti yang membenarkannya kekal berkuasa selepas sekian lama tidak berada dalam kerajaan.”

Semalam 2 sumber dalaman parti itu memberitahu FMT bahawa PAS menyasarkan peranan sebagai “kingmaker” dalam pilihan raya umum akan datang sewaktu ia menyertai jawatankuasa protem bersama-sama PPBM bagi mendaftarkan PN.

Seorang mereka berkata, PAS berharap untuk mengimbangi “kuasa” Umno ke atasnya dalam MN, dengan menyebut bahawa PPBM bukan ancaman terhadap parti Islam itu, berbanding Umno yang mempunyai lebih ramai ahli Parlimen.

James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania berkata, PAS tidak mungkin menjadi kuasa penentu dalam pilihan raya akan datang kerana pengundi Melayu mempunyai banyak pilihan.

Katanya, dengan kemasukan parti baru Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad, keadaan bakal menjadi lebih menarik.

Beliau bersetuju dengan Azman bahawa kegagalan PAS keluar dari negeri Pantai Timur mengehadkan pengaruhnya dengan berkata, Umno menjadi penghalang terhadap parti itu untuk membesar menjadi sebuah pertubuhan kebangsaan.

Chin memberitahu FMT bahawa tidak memeranjatkan apabila PAS menyertai jawatankuasa protem bersama-sama PPBM untuk mendaftarkan PN kerana kedua-dua parti mahu memudarkan pengaruh Umno dalam mana-mana kerajaan gabungan.

“PAS memang melihat Umno sebagai ancaman kerana Umno tidak pernah bersetuju dengan negara Islam versi PAS. Umno mempunyai versi mereka sendiri tentang bentuk negara Islam yang diingini. Jadi dari segi ideologi mereka berbeza,” katanya.

Bagaimanapun menurut Chin, PAS tidak didorong oleh ideologi dalam isu pembentukan gabungan politik dengan berkata, parti itu pernah bekerjasma dengan DAP sebagai pembangkang sebelum ini.

“PAS hanya mahu berada dalam kerajaan bagi membolehkannya mempromosi versi negara Islam mereka. Apabila tiba waktunya mereka mahu mengubah Malaysia mengikut negara Islam versi mereka,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/08/21/pas-ambil-jalan-selamat-dengan-mn-dan-pn-kata-penganalisis/