Pas pertikai senarai ahli parlimen ASEAN gesa sidang parlimen

Pas pertikai senarai ahli parlimen ASEAN gesa sidang parlimen

PAS mempertikaikan laporan portal berita kononnya 90 Ahli Parlimen daripada tujuh negara ASEAN menggesa supaya sidang Parlimen negara ini diadakan segera.

Menyifatkan laporan itu sebagai mengelirukan, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, jumlah 90 Ahli Parlimen yang disebutkan dalam laporan berkenaan adalah salah kerana 25 daripada mereka yang menandatanganinya bukanlah Ahli Parlimen tetapi, bekas Ahli Parlimen.

Selain itu, katanya lapan daripada nama yang disenaraikan adalah Ahli Parlimen Timor Leste yang tidak termasuk dalam negara ASEAN.

“Kenyataan ini juga tidak mewakili pendapat kerajaan negara berkenaan tetapi sekadar mewakili pendapat Ahli Parlimen pembangkang mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kumpulan Ahli Parlimen di bawah ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR) yang menggesa untuk diadakan sidang Parlimen itu pula dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago.

“Adakah ini juga satu petanda bahawa tindakan Ahli Parlimen pembangkang negara-negara terbabit didorong oleh Ahli Parlimen pembangkang negara kita yang mahu mengkritik dan mencemarkan imej kerajaan saja?” katanya.

Kamaruzaman berkata, pelaksanaan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah menepati garis panduan darurat yang diperkenalkan oleh Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hak asasi manusia pada 27 April tahun lalu.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2021/02/787098/pas-pertikai-laporan-ahli-parlimen-asean-gesa-sidang-parlimen