Pas Selangor nafi main dua kolam, sebaliknya jadi penghubung

Pas Selangor nafi main dua kolam, sebaliknya jadi penghubung

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menegaskan pertemuan pemimpin tertinggi UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor baru-baru ini secara tidak langsung menafikan dakwaan parti Islam itu ‘bermain dua kolam’.

Menurutnya, pertemuan dihadiri beliau, Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Ansari bagi merealisasikan gagasan Presiden Pas untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, pertemuan itu juga bagi memperkasakan Muafakat Nasional (MN) ke arah kerajaan PN Plus.

“Alhamdulillah menerusi platform perpaduan ummah, pertama kalinya Pas, UMNO dan Bersatu duduk semeja berbincang dan Pas Selangor menjadi jambatan penghubung kebijakan politik matang dan sejahtera.

“Secara tidak langsung menafikan naratif yang dibina musuh iaitu Pas ‘bermain dua kolam’ bahkan realitinya kami mahu jadi penghubung perpaduan ummah demi politik dan masa depan negara kita,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Ahmad Yunus berkata, menerusi pertemuan itu juga banyak persamaan yang dapat dirungkai dan perbezaan diketepikan.

“Ini bermakna muafakat PN Plus di Selangor akan menjadi suatu gagasan yang lebih mantap menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Apa maknanya kalau masing-masing gagal berlapang dada dalam menghadapi pilihan raya umum yang dijangka tidak berapa lama lagi, akhirnya bertanding dalam tiga penjuru dan gagal membentuk kerajaan selepas PRU15 nanti,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/124811/BERITA/Politik/Pertemuan-tiga-pemimpin-nafikan-dakwaan-Pas-bermain-dua-kolam