Pas sudah siap sedia hadapi peralihan kuasa – Tuan Ibrahim

Pas sudah siap sedia hadapi peralihan kuasa – Tuan Ibrahim

PAS menafikan dakwaan dua Ahli Parlimen parti itu menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata bagaimanapun parti itu bersedia menghadapi apa juga kemungkinan jika berlaku peralihan kuasa.

Katanya, sebagai negara mengamalkan demokrasi semua pihak mempunyai hak dari segi Perlembagaan, namun dalam situasi COVID-19 yang melanda negara ketika ini, soal itu perlu diketepikan.

“Dalam situasi COVID-19 yang melanda negara dan ekonomi belum pulih, rakyat berdepan tekanan hingga keutamaan kita seharusnya pada isu membabbitkan kepentingan rakyat daripada isu kecamuk politik tidak selesai.

“Saya baca beberapa analisa dibuat sebahagian besar rakyat cakap sudah bosan dengan situasi berlaku,” katanya pada media ketika melawat kejadian tumpahan minyak di Pantai Cermin di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, ketika ini PAS memilih untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku selepas 13 Oktober ini.

Tambahnya, seramai 18 Ahli Parlimen PAS tetap menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Kita payah nak jangka dan ketika ini semua memerhati cuma tengok dari segi dia (Anwar) mendakwa sudah cukup bilangan untuk capai majoriti kukuh.

“Parti politik yang nama (Ahli Parlimen mereka) disenaraikan sudah buat laporan polis. Berdasarkan laporan yang ada, rasa macam tidak mungkin, tetapi kita akan tengoklah,” katanya.

Mengenai senarai Kabinet termasuk nama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ditularkan, tuan Ibrahim berkata, ia antara paling tidak munasabah di dunia.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/10/741328/pas-nafi-2-ahli-parlimen-sokong-anwar-ibrahim